RM369.5 juta laksana pemberian subsidi kepada penternak bagi fasa ketiga

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 18 Second

MACHANG : Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta untuk melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak bagi fasa ketiga yang bermula semalam sehingga 31 Ogos depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukkan itu menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak diluluskan pada 5 Februari lalu.

“Bagi tempoh 1 Julai iaitu semalam hingga 31 Ogos depan (Fasa 3), pemberian subsidi ditetapkan pada kadar RM1.20 per kilogram (kg) dimana Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta untuk melaksanakan pemberian subsidi Fasa 3 ini.

“Sebelum ini  Kerajaan telah meluluskan pemberian subsidi kepada penternak bagi menampung kenaikan kos input pengeluran ayam pada kadar RM0.60/kg dari 5 Februari hingga 30 Mac 2022 (Fasa 1) dan RM1.40/kg bagi tempoh 1 April 2022 hingga 30 Jun 2022 (Fasa 2),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan ketika mengadakan lawatan kerja ke sebuah ladang ayam dengan kapasiti pengeluaran 60,000 ekor ayam satu pusingan di Labok, Machang, Kelantan di sini hari ini.

Lawatan kerja itu adalah bagi meninjau operasi penternakan ayam di samping mendapatkan maklumat secara langsung daripada penternak mengenai isu atau permasalahan yang dihadapi.

Ronald berkata, sehingga kini sebanyak 4,739 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM384 juta telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Katanya,  semua penternak boleh terus kemukakan permohonan sehingga subsidi dapat disalurkan.

“Kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

“Pada 29 Jun 2022, Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram, bagi Semenanjung Malaysia,” katanya.

Harga siling runcit telur ayam ditetapkan pada kadar 45 sen/biji bagi gred A, gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur ini telah berkuatkuasa bermula 1 Julai 2022.

Dalam pada itu, Ronald berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan HargaMaksimum bagi Ayam dan Telur.

“Di samping itu, pengimportan masuk untuk stok penimbal ayam juga sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 4,536 tan metrik menjelang penghujung bulan Julai 2022.

“Kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” katanya.

Tambahnya lagi,  Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi menjamin kesejahteraan keluarga Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *