Zahid tidak campur urusan politik di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: “Saya fikir hanya mutu yang mengenal manikam, BN Sabah ini seperti sekilas ikan di air mereka sudah tahu jantan betinanya, jadi elok saya tidak campur dalam soal politik di Sabah ini,” kata Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid menjelaskan mengenai perkara yang disebut dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu meletakkan hala tuju BN Sabah sebelum Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) samada ia membabitkan soal kerjasama Barisan Nasional (BN) Sabah dengan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, hala tuju BN Sabah adalah memperincikan bersekali dengan “new deal” atau “new offer” kepada pengundi-pengundi di Sabah kerana BN Sabah merupakan satu entiti baru dan beliau menyerahkan perkara itu kepada pemimpin-pemimpin BN di Sabah.

“Selain pada manifesto BN di peringkat nasional, saya yakin manifesto BN Sabah akan sedikit berbeza kerana kita persesuaikan manifesto atau Aku Janji ini bilapun pilihanraya ini diadakan sesuai dengan kehendak pengundi-pengundi di Sabah dan kita akan umumkan bila tiba masanya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Konvensyen BN Sabah 2022 di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), Penampang, hari ini. (2 Julai)

Terdahulu, Zahid turut memaklumkan beliau telah mempengerusi satu mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional malam tadi yang turut dihadiri oleh pengerusi BN Sabah dan pemimpin-pemimpin BN Sabah.

“Saya ingin menyatakan bahawa pada 20 November 2020, Dewan Tertinggi BN telah memutuskan supaya Barisan Nasional di Sabah dikenali sebagai BN Sabah, beberapa perkara di dalam BN persekutuan telah memperuntukkan beberapa klausa yang dikaitkan ke dalam BN Sabah dan meletakkan BN Sabah sebagai sesuatu entiti khas yang akan menggabungkan beberapa parti politik di Negeri Sabah yang mahu bersama-sama BN Sabah selain daripada parti teras di Sabah ini iaitu UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi membentuk BN Sabah.

“Perkara ini akan di bawa ke Dewan Tertinggi BN Pusat, untuk kita lakukan pengabsahan, tujuan kita lakukan sedemikian adalah berikutan dari pindaan perlembagaan UMNO sendiri yang telah di autonomi kepada UMNO Sabah untuk memberikan kesinambungan terhadap kuasa autonomi BN Sabah diwujudkan biarpun BN Sabah tidak setaraf dengan autonomi yang diberikan kepada BN Sabah,” katanya.

Pada sidang media itu, Zahid turut memberitahu terdapat empat parti memohon untuk menyertai BN Pusat, namun tidak mendedahkan nama-nama parti tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *