HomeIsu tempatanUMS, MIROS anjur seminar tingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya

UMS, MIROS anjur seminar tingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya

Read Time:2 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berjaya menganjurkan seminar kesedaran keselamatan jalan raya bersama warga UMS.

Seminar bertajuk ‘Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Semua’ itu adalah salah satu langkah UMS dalam membendung kejadian kemalangan yang melibatkan kenderaan khususnya di dalam kampus.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, antara inisiatif UMS bagi mencegah kemalangan di dalam kampus adalah dengan mewujudkan sistem penyelenggaraan tempat kerja seperti jalan raya dan kenderaan yang dipantau khas oleh pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan UMS.

“Selain itu, Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia juga telah mengadakan latihan pemanduan berhemah kepada kumpulan gred pemandu dan kakitangan UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Semua di Bilik Seminar Pusat Islam UMS, di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Tambah Taufiq, bagi memastikan penglibatan dan perundingan di antara pengurusan dan pekerja, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di peringkat UMS telah dilaksanakan secara berkala.

“Laporan kejadian kemalangan jalan raya di UMS juga diterima dan disiasat oleh pihak Bahagian Keselamatan UMS selaku jabatan yang menguatkuasakan Peraturan Lalu Lintas di Dalam Kampus UMS.

“Sementara itu, bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran di UMS, topik Keselamatan Jalan Raya menjadi salah satu subjek yang diajar dalam Kursus Kejuruteraan Trafik di Fakulti Kejuruteraan (FKJ),” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa topik keselamatan jalan raya juga diberi perhatian khusus dalam aktiviti penyelidikan di UMS.

Terdahulu Ketua Pengarah MIROS, Dato’ Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata seminar ini penting bagi pihaknya untuk memperkenalkan New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries atau ASEAN NCAP di Borneo.

ASEAN NCAP adalah suatu program penarafan tahap keselamatan kenderaan baharu yang dijual di negara-negara di Asia Tenggara.

“Program ASEAN NCAP ini adalah dalam bentuk penganugerahan bintang iaitu dari penarafan 0-Bintang (tahap keselamatan tidak baik) kepada 5-Bintang (tahap keselamatan yang amat baik).

“Kami telah menjalankan beberapa program advokasi di beberapa negara luar di Asia Tenggara dan kali ini kami ingin mengambil peluang untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di Sabah tentang pentingnya penarafan bintang keselamatan kenderaan sebagai sumber informasi dalam membuat keputusan semasa membeli kenderaan baharu,” jelasnya.

Khairil yang juga merupakan Setiausaha Agong ASEAN NCAP turut menambah bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia bersama MIROS dan Jabatan Pengangkutan Jalan telah membangunkan satu Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022–2030 (PKJRM 2022-2030) sebagai pendekatan yang holistik untuk memandu segala usaha keselamatan jalan raya di Malaysia.

“Di bawah pelan ini terdapat 10 bidang keutamaan yang memberi fokus ke arah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya yang mengetengahkan agenda localization sebagai kaedah utama dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Oleh yang demikian, seminar ini merupakan suatu sesi pengenalan bersama pihak UMS, khususnya untuk terlibat aktif dalam setiap bidang keutamaan Pelan PKJRM ini,” katanya.

Turut hadir, Pengarah PKKP UMS, Profesor Dr. Khamisah Awang Lukman.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

35 pelajar TARUMT hadir sebagai pemerhati sidang DUN Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya