Pemimpin akar umbi berperanan tingkat kesedaran kepada bahaya wabak, penyakit berjangkit

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

BEAUFORT : Pemimpin masyarakat khususnya di peringkat kampung berperanan dan bertanggungjawab bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap bahayanya wabak dan penyakit berjangkit yang sedang berlaku di kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam berkata, peranan para pemimpin ini perlu dalam menyalurkan maklumat melalui program yang dianjurkan selain aktiviti yang digerakkan di kawasan masing-masing.

“Selain wabak COVID-19, ancaman terkini iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta wabak Demam Denggi yang sedang berlaku di daerah ini perlu dipandang serius oleh masyarakat.

“Kebersihan kawasan persekitaran juga perlulah dijaga bagi mengawal wabak denggi dari terus merebak dan para pemimpin setempat perlu bertindak memainkan peranan dengan mengadakan aktiviti gotong-royong dikawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jom Derma Darah yang dianjurkan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Weston bertempat di Dewan Sri Dayang Pekan Weston, disini semalam.

Mengulas mengenai program Jom Derma Darah yang diadakan, Ruslan amat berpuas hati dengan penganjuran dan mengucapkan tahniah kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Weston kerana berjaya mengadakan program tersebut bagi membantu bekalan darah untuk Tabung Darah Beaufort dan hospital terdekat lain seperti Kuala Penyu dan Sipitang.

Katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort dan Hospital Beaufort kerana berjaya mengadakan beberapa siri program sebelum ini bukan sahaja di Weston, malah di tempat-tempat lain di kawasan Beaufort.

Pada program tersebut, turut diadakan saringan kesihatan percuma,ceramah Kesedaran Kanser, ujian Pap Smear, ujian tekanan (stress test) dari Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort, pemeriksaan mata secara percuma, dan Kempen Pengikrar Pendermaan Organ dari Hospital Beaufort.

Beliau turut mengesa agar program serupa diadakan dua kali setahun di Pekan Weston, kerana melihat sambutan yang agak menggalakkan dari penduduk setempat agar masyarakat kekal menderma darah, sambil yang lain dapat memperolehi informasi terkini berkenaan kesihatan dan saringan-saringan kesihatan yang dibawa terus kepada masyarakat tanpa perlu ke Hospital atau fasiliti kesihatan.

Pada program Jom Derma Darah itu, 60 beg darah berjaya dikutip dan akan digunakan untuk membantu pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital.

Turut hadir pada program tersebut, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Weston selaku pengerusi penganjur, Aznehzam Abd Rahman, Pegawai Perubatan Hospital Beaufort serta mengetuai pasukan Tabung Darah Hospital Beaufort, Dr Nur Shahada Kasunadi Natar, Wakil Y&Y Group selaku penaja hadiah galakan penderma darah, Koh Chen Shiung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *