Sabah anjur Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 15 Julai hingga 17 Julai ini bertempat di Padang Pekan Tuaran.

Pegawai Khas Ketua Menteri Sabah, Mazlan Joehari Manan berkata, Karnival Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan pada kali ini dianjurkan dan dipengerusikan secara bersama oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia dan Kementerian Belia Dan Sukan Sabah yang mewakili Kerajaan Negeri Sabah.

Sambutan ini juga melibatkan kerjasama bersama dengan rakan strategik utama iaitu Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Sabah.

“Ini merupakan satu penghargaan kepada pihak Kerajaan Negeri Sabah kerana telah dipilih untuk menjadi penganjur dan pelaksana bersama bagi acara sambutan besar-besaran Sempena Karnival Hari Belia Negara yang akan diadakan di padang Pekan Tuaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kupi-Kupi Bersama Media Sempena Sambutan Karnival Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Le Meridien di sini, hari ini. (7 Julai)

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GABUNGAN), tema sambutan HBN 2022 pada kali ini ialah “Ini Masa Kita”, ia mengambil kira tema sambutan ini menerangkan tentang masa muda merupakan waktu yang terbaik untuk belia di negara kita melaksanakan aktiviti kebaikan yang menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara serta mengoptimakan masa muda yang ada untuk berbakti kepada negara.

“Hari Belia Negara mempunyai empat objektif
yang ingin kita capai iaitu pertama adalah kita ingin memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia yang menyumbang kepada negara.

“Objektif kedua, memberi semangat dan meningkatkan kesedaran kepada golongan belia di kala negara dan dunia dilanda pandemik, golongan belia masih mendapat perhatian daripada pihak kerajaan bagi menghadapi situasi semasa.

“Manakala objektif ketiga, kita ingin menaikkan semangat kecintaan tanggungjawab besar kita adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai
keutamaan nombor satu. Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian persekutuan malaysia supaya belia terus konsisten untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan juga negara.

“Objektif yang keempat, iaitu menyediakan platform strategik kepada pemegang taruh untuk menyumbang kepada pembangunan belia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mazlan turut memaklumkan pelbagai aktiviti ‘build-up programme‘ telah dirancang dan disusun atur untuk dilaksanakan bagi mengisi acara sepanjang sambutan HBN 2022, antaranya Ikrar Belia Malaysia, Youth To Youth Booth, HBN Charity Run, Ekspo Belia Keluarga Malaysia dan banyak lagi aktviti belia menarik yang akan disajikan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dijangka akan merasmikan sambutan Majlis Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan pada 16 Julai ini di Padang Pekan Tuaran.

Orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan sambutan majlis itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *