Sarang Burung Walet berpotensi jana ekonomi rakyat, negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 35 Second

TELUPID : Industri Sarang Burung Walet (SBW) merupakan satu industri yang berpotensi besar sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sejumlah RM1.8 bilion berjaya dijanakan menerusi nilai eksport pada tahun lalu iaitu melalui 5,905 tan metrik sarang burung walet yang dieksport ke luar negara.

Katanya, ia merupakan kenaikan lebih RM400 juta berbanding tahun 2020 dengan nilai RM1.385 bilion.

“Sehingga tahun lalu, sebanyak 13,635 premis rumah burung walet telah berdaftar dengan Jabataan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan 25 peratus daripadanya (3,413) adalah di Sabah.

“Sementara sebanyak 2,143 rumah burung walet telah mendapat Persijilan MyGAP di mana 373 daripadanya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Rumah Burung Walet Komuniti B40 Sandakan di Kampung Lumou Telupid di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid dan Timbalan Pengarah DVS Sabah Dr Jamaun Angkap.

Ronald berkata, rekod yang dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu menunjukkan bahawa industri sarang burung walet ini mampu diperbesarkan.

Selain itu katanya, melalui industri ini juga ianya akan dapat membantu pihak-pihak industri malah kumpulan masyarakat khususnya golongan B40.

Seramai 20 peserta terpilih menyertai Program Rumah Burung Walet Komuniti B40 yang merupakan projek perintis Syarikat Beho Birdnest sebagai peneraju dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan B40 di Sabah.

Kerjasama strategik antara Kerajaan dan pihak swasta itu juga digalakkan untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti B40 pada Majlis Perasmian Rumah Burung Walet Komuniti B40 di kampung berkenaa.

Syarikat Beho Birdnest merupakan antara pengusaha SBW yang bergiat aktif di Malaysia dan mempunyai loji berdaftar dengan pihak General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) yang telah diberi kelulusan untuk mengeksport sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan sarang burung walet belum bersih (EBNRUC) ke negara tersebut.

Sementara itu, Ronald berkata, MAFI akan terus menggalakkan pengeksportan produk-produk SBW ke Iuar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri ini secara keseluruhannya.

Katanya, pihak Kementerian menerusi DVS juga akan sentiasa menjalin kerjasama strategik serta perkongsian teknologi dan maklumat pemasaran bersama pemain-pemain industri dalam memastikan operasi sektor burung walet tidak mengalami sebarang gangguan bagi menjamin kelangsungan pengoperasian industri ini. 

Dalam pada itu, Dr Akma berkata, DVS telah mewujudkan satu Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai METS (Malaysian EBN Traceability System) bagi mengukuhkan sistem daya jejak yang mana menjadi salah satu syarat dalam pengeksportan sarang burung walet (SBW) Malaysia ke China.

“Faedah pelaksanaan program ini kepada pengusaha walet antaranya, hasilan sarang burung walet dari premis yang berdaftar dan mempunyai ID premis mendapat permintaan yang lebih tinggi,” katanya.

Setakat ini, 44 loji pemprosesan sarang burung walet telah mendapat pensijilan Veterinary Health Certificate Malaysia (VHM).

Manakala, 42 loji pemprosesan sarang burung walet mendapat pensijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP).

Negara pengimport utama SBW dari Malaysia adalah China yang mengimport 80 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport SBW Malaysia.

Sehingga tahun 2021, sebanyak 41 loji SBW di Malaysia telah diluluskan oleh GACC iaitu 38 loji sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan 3 loji sarang walet belum bersih (EBN-RUC).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *