Kerjasama NGO, agensi kerajaan laksana kempen derma darah sentiasa disokong

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 5 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

TAMPARULI : Inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) khususnya di negeri ini dalam melaksanakan kempen derma darah mampu membantu menambah bekalan darah di hospital.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, usaha seumpama itu juga mampu membantu menyelamatkan nyawa para pesakit yang memerlukan khususnya yang kritikal.

“Hari ini saya berkesempatan untuk hadir pada kempen derma darah anjuran Persatuan Pesara Kerajaan Sabah dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tuaran serta Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.

“Ini adalah satu usaha yang baik dimana ia merupakan satu perkongsian pintar antara NGO dan juga jabatan-jabatan kerajaan.  Sesungguhnya ini merupakan satu program yang disokong dan digalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran di sini hari ini.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, program ini juga merupakan satu usaha yang mulia dan bersifat kemasyarakatan serta relevan dalam memastikan bekalan darah di Tabung Darah hospital sentiasa mencukupi.

“Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan penghargaan terima kasih dan syabas kepada NGO khususnya Persatuan Pesara Kerajaan Sabah dan JBPM atas usaha perkongsian pintar yang sangat berkesan dan sesuai pada keadaan masa ini.

“Mudah-mudahan semua yang dilaksanakan ini akan dapat membantu menambah bekalan darah di Tabung Darah hospital,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *