Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 1,250 liter petrol bersubsidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

SEMPORNA:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan dua percubaan menyeludup keluar 1,250 liter minyak petrol bersubsidi di perairan Semporna sekitar jam 2.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, ketika rondaan, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan pergerakan mencurigakan dua buah bot enjin sangkut di dua lokasi berbeza.

“Pergerakan pertama yang dicurigai dikesan lebih kurang 2.4 batu nautika utara Terumbu Pasalat, Semporna.

“Semasa dihampiri, tekong bot bertindak terjun melarikan diri dan meninggalkan bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran bersama 625 liter petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norrimi berkata, sebuah lagi bot enjin sangkut dengan nombor pendaftaran tempatan berjaya dipintas di lokasi sekitar 1.1 batu nautika Utara Tanjung Panto-Panto, Semporna.

Katanya, tekong bot turut melakukan tindakan nekad melarikan diri dengan meninggalkan bot dan berenang ke arah kawasan cetek.

“Pemeriksaan ke atas bot kedua turut menemui 625 liter petrol juga dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kedua-dua bot dibawa ke Jeti Maritim Semporna dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin serta petrol bernilai hampir RM23,000,” katanya.

Sementa itu, Norrimi berkata, kes disiasat di bawah Akta Bekalan 1961 dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

Katanya, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *