Pelajar UMS bakal nikmati menu makan serendah RM3.50 bermula esok

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menerima manfaat daripada inisiatif Menu Keluarga Malaysia pada harga serendah RM3.50 di semua kafeteria kolej kediaman masing-masing bermula esok.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Profesor Madya Dr Raman Noordin berkata, menu berkualiti itu merupakan satu usaha bagi menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Usaha ini adalah sebagai menyahut saranan KPT agar pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan saranan tersebut, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dengan para pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS, dan telah mendapat persetujuan agar setiap pengusaha menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Raman berkata, meskipun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkompromi berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti, dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi.

Katanya, pihaknya percaya usaha pengurusan universiti ini akan dapat membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.

“Ini diharap akan dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok B40,” kata Raman.

Untuk rekod, terdapat sejumlah 13,179 pelajar B40 di UMS, terdiri daripada 4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan.

Selain itu, bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada harga makanan semasa, moratorium bayaran sewa selama enam bulan juga diberikan kepada pengusaha kafeteria mulai bulan ini.

Langkah tersebut dijangka mampu membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, pihaknya memberi jaminan di bawah inisiatif #UMSPeduli, pihak universiti akan meneruskan serta memperkasakan pelaksanaan program Food Bank Siswa UMS yang telah diperkenalkan sejak tahun 2019.

Terbaru, menerusi Pusat Islam UMS telah dilancarkan ‘Dapur Rahmah’ bagi menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam penyediaan jamuan untuk majlis atau program rasmi universiti.

“Inisiatif Food Bank Siswa ini tidak terhad kepada pelajar dalam kampus sahaja, malah UMS juga ambil peduli terhadap beban ditanggung oleh pelajar yang tinggal di luar kampus.

“Untuk itu, Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) juga telah mewujudkan Food Bank untuk pelajar Non Residen berdekatan dengan pejabat PNRF di Anjung Siswa, UMS,” katanya.

Taufiq turut berharap orang ramai khususnya syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi luar untuk bersama-sama menyokong dan mengembangkan program Food Bank ini agar dapat memanfaatkan pelajar khususnya yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan keperluan makanan dan minuman seharian.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *