KDN perhebat usaha menjelaskan isu-isu berkaitan kewarganegaraan

Read Time:1 Minute, 48 Second

Bernama

TENOM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperhebatkan lagi usaha menjelaskan isu-isu berkaitan kewarganegaraan, termasuk melibatkan kepentingan mendaftar dokumen pengenalan diri dalam kalangan masyarakat, khususnya di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu penting, bagi memastikan semua rakyat khususnya di kawasan pedalaman Sabah, memahami kaedah permohonan dokumen pengenalan diri dan mengetahui kelayakan taraf kewarganegaraan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, masih ada dalam kalangan masyarakat yang langsung tidak memahami kepentingan mendaftar perkahwinan sehingga menyebabkan kesukaran kepada anak-anak memperoleh taraf kewarganegaraan.

“Ini semua berlaku kerana masalah kefahaman tentang undang-undang yang ada dalam negara kita.

“Penjelasan ini harus diberikan kepada semua oleh pemimpin dalam negara supaya tidak timbul masalah politik di masa hadapan, apabila berlaku permintaan yang tidak dapat ditunaikan…tidak boleh disalahkan sesiapa,” katanya selepas menghadiri program bersama rakyat Kemabong di sini, hari ini.

Hamzah berkata, adalah amat penting semua pemimpin termasuk ketua kampung, memahami tanggungjawab masing-masing dalam memberi kefahaman berhubung perkara itu, bagi memastikan masyarakat terlibat diberi taraf kewarganegaraan mengikut kesesuaian berdasarkan rekod pengenalan diri mereka.

Beliau menjelaskan ketika ini terdapat empat jenis dokumen pengenalan diri dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan semua masyarakat yang berada dalam Malaysia, mestilah mempunyai dokumen pengenalan diri sah mengikut undang-undang negara.

Hamzah turut mewar-warkan kepada orang ramai agar menyertai program Kita Demi Negara, sekali gus menjadi sahabat KDN dalam memupuk tanggungjawab bersama menjaga keamanan negara.

Pada majlis itu, Hamzah turut menyerahkan dokumen pendaftaran diri kepada empat kanak-kanak berumur 12 tahun, dan menyaksikan penyerahan dokumen permohonan kewarganegaraan daripada warga Kemabong kepada pegawai JPN.

Terdahulu, Hamzah turut mengadakan lawatan ke lokasi pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Pagalungan, dekat Pensiangan.

Mengulas mengenai lawatan itu, Hamzah berkata, kompleks tersebut dibina antara lain bertujuan membantu memudahkan urusan masyarakat di kawasan pedalaman berkenaan, melakukan pelbagai urusan termasuk membabitkan pendaftaran dokumen pengenalan diri.

“Kita menggunakan (balai) polis untuk mereka (penduduk) mendaftar memandangkan kita tiada lagi tempat pendaftaran. Kita menggunakan kaedah, sesiapa sahaja melahirkan anak boleh mendaftarkan (kelahiran) di balai polis.

“Kita naikkan taraf, bukan hanya mendapatkan laporan jenayah, tetapi juga merekodkan kelahiran dan kematian, untuk memastikan semua warga kita nanti mempunyai rekod didaftarkan di balai polis,” katanya. – Bernama

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.