Kim Swee akui kecewa, dibolosi minit akhir

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui rasa kecewa apabila pasukannya tewas pada saat akhir perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas di sini malam tadi.

Katanya, gol yang diperoleh pasukan pelawat pada minit akhir perlawanan malam tadi dilihat sukar diterima meskipun mengakui kehebatan pasukan JDT selain memahami corak permainan pasukan Harimau Selatan itu.

“Sangat mengecewakan, kalah pada saat akhir dan dibolosi pada minit akhir sudah tentu amat sukar untuk kita terima.

“Meskipun kita tahu JDT bermain seperti yang mereka biasa bermain namun kita berjaya menghalang asakan pasukan pelawat sehinggalah berlaku sepakan percuma.  Sepakan percuma itu telah membezakan kita dengan pasukan pelawat,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di sini semalam.

Pada perlawanan itu, Sabah FC tewas kepada JDT FC dengan keputusan 1-2.

Tuan rumah berjaya memperoleh gol tunggal hasil jaringan Park Tae Sue pada minit ke-19 manakala dua gol pasukan pelawat dijaringkan oleh penyerang JDT, Fernando Martin Forestieri pada minit ke-26 dan minit akhir perlawanan.

Pengadil perlawanan malam tadi, Mohd Fusser Mad Sallih memberikan sepakan percuma di hadapan gawang Sabah kepada JDT apabila berlaku insiden perlanggaran di antara pemain Sabah dan JDT pada minit ke-94.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pemain Sabah hingga menimbulkan ketegangan apabila penyerang import Sang Badak, Jose Embalo bertindak di luar kawalan terhadap pemain JDT.

Sepakan percuma itu disempurnakan penyerang JDT, Fernando Martin Forestieri yang kemudiannya menghadiahkan gol kedua pada minit ke-95 selepas gol pertamanya pada minit ke-26 untuk JDT membawa pulang tiga mata.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tindakan pengadil yang memberikan sepakan percuma itu, Kim Swee berkata, semua insiden yang menyebabkan perlanggaran pemain kedua pasukan perlu dilihat sebelum keputusan memberikan sepakan percuma dibuat.

“Mengenai sepakan percuma, kita perlu lihat semua insiden yang berlaku sebelum itu, lihat semua situasi.

“Kita bukan menyalahkan sesiapa tetapi kita tahu ia adalah sebahagian daripada permainan dan kita perlu belajar bagaimana mengawal diri kita,” katanya.

Kim Swee berkata, beliau juga sedar keputusan perlawanan malam tadi mengecewakan puluhan ribu penyokong bola sepak Sabah yang datang ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan mereka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *