HomeUtamaTaman-Taman Sabah laksana pelbagai usaha pelihara alam sekitar di stesen-stesen Taman

Taman-Taman Sabah laksana pelbagai usaha pelihara alam sekitar di stesen-stesen Taman

Read Time:2 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Taman-Taman Sabah (TTS) telah melaksanakan pelbagai usaha pemeliharaan alam sekitar termasuk penanaman semula bibit pokok di stesen-stesen taman.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, ini termasuklah restorasi terumbu karang melalui penanaman dan tukun tiruan.

Selain itu katanya, kawalan kouta pelancong di beberapa buah taman juga telah dilaksanakan bagi memastikan flora dan fauna di kawasan taman sentiasa terpelihara.

“Adalah menjadi cabaran TTS bagi menangani isu-isu perubahan iklim terutama di Taman Tunku Abdul rahman (TTAR) ini sewaktu musim ombak kuat seperti mana yang kita hadapi pada dua minggu yang lalu.

“Keadaan itu telah merosakkan beberapa fasiliti kita serta menjejaskan kebersihan pantai secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Pewartaan TTAR ke-48 di Pulau Manukan di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, sebanyak tiga program turut dilancarkan antaranya Mamutik Shipwreck Dive Site; Coral Adoption Program dan Underwater Clean Up.

Jafry berkata, Shipwreck Dive Site merupakan sebuah kapal yang ditenggelamkan pada 17 November 2016 dengan panjang 31.4 meter di kedalaman 20 meter di kawasan laut berhampiran Pulau Mamutik untuk dijadikan sebagai kawasan tapak selaman baharu.

Katanya, pihaknya berharap agar tapak selaman baharu itu akan dapat menghidupkan dan merancakkan semula industri pelancongan di negeri ini yang terkesan secara langsung akibat pandemik COVID-19.

“Saya dimaklumkan, pihak TTS telah menyediakan prosedur standard operasi (SOP) penyelaman di shipwreck ini dengan hanya membenarkan seramai 32 selaman sahaja sehari, yang bersamaan dengan 11,680 selaman setahun.

“Langkah ini saya lihat adalah wajar bagi kita mengurangkan impak selaman SKUBA ke atas Shipwreck ini nanti,” katanya.

Sementara itu, Jafry berkata, program Coral Adoption yang menggunakan kaedah Coral Frame merupakan suatu inisiatif yang dimasukkan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 yang menyokong kepada pembangunan dan konservasi alam semulajadi di negeri ini.

Katanya, kaedah itu telah direka khas oleh penyelidik dari luar negara, dan berjaya menjalankan restorasi karang di kawasan terumbu mereka dengan kerjasama erat daripada resort pelancongan di luar negara.

“Di Sabah, usaha ini telah dimulakan oleh Taman Marin Tun Sakaran, Semporna bersama pihak Semporna Island Project, dan terbukti kaedah Coral Frame ini telah membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan.

“Penggunaan kaedah ini menunjukan ianya sesuai digunakan untuk projek-projek restorasi terumbu karang yang rosak.

“Menyedari kejayaan program restorasi ini, kaedah coral frame telah diguna pakai dan dikembangkan ke merata taman marin lain seperti Taman Pulau-Pulau Penyu Sandakan, Taman Tun Mustapha Kudat, Taman Pulau Tiga Kuala Penyu dan juga di Taman Tunku Abdul Rahman sendiri,”katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, pelaksanaan program Underwater Clean Up yang dilaksanakan Kementeriannya dengan kerjasama TTS dan Reef Check Malaysia itu merupakan aktiviti pembersihan dasar laut yang dilaksanakan oleh pihak Taman.

“Dipihak Taman dan Kementerian, kita sememangnya amat bimbang berkaitan dengan isu sampah ini, dan disebabkan itulah kempen ‘say no to plastic bag and bottle’, beserta gotong-royong perdana pernah dilancarkan pada masa lalu.

“Oleh itu, tindakan seperti kempen mesra alam (ECO Friendly) boleh dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan plastik yang merupakan punca masalah sampah sarap di lautan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jafry berkata, pihaknya akan sentiasa menyokong penuh terhadap usaha murni TTS dalam memulihara terumbu karang yang mampu mengekalkan kekayaan biodiversiti marin di Taman Tunku Abdul Rahman.

“Ini juga akan mampu menarik kedatangan pelancong untuk melawat taman ini. Saya juga menyeru agar agensi kerajaan yang lain serta para NGO turut serta dalam usaha konservasi terumbu karang ini agar ekosistem marin ini dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Sabah siap sedia untuk Hidrogen Hijau menerusi Tenaga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya