HomeIsu tempatanTerharu dan teruja, tekad lakukan yang terbaik - Pei Ling

Terharu dan teruja, tekad lakukan yang terbaik – Pei Ling

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Berasa teruja dan terharu, itu antara perasaan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lua Pei Ling, 23, selepas tersenarai antara 82 peserta Felo Perdana yang ditempatkan di Pejabat Ahli Jemaah Menteri Malaysia bermula 13 Julai lalu.

Menurutnya, beliau tidak menyangka telah terpilih memandangkan terdapat ribuan permohonan dari seluruh negara, namun berjanji akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menimba ilmu dan pengalaman.

“Untuk makluman, saya ditempatkan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), iaitu felo kepada Tan Sri Annuar Musa. Secara jujurnya, bidang komunikasi dan multimedia merupakan bidang yang amat baharu dan asing kepada saya.

“Walau bagaimanapun, saya telah bersedia untuk menyahut cabaran serta berharap dapat mempelajari selok-belok tugasan pemimpin negara di bawah bimbingan menteri,” katanya.

Pelajar tahun akhir jurusan Psikologi Industri dan Organisasi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) itu berkata demikian ketika dihubungi di sini kelmarin.

Pei Ling turut menyuarakan harapan agar pengalaman yang diperoleh nanti meningkatkan kemahiran insaniah sekali gus menjadi nilai tambah apabila memasuki dunia pekerjaan sebenar pada masa hadapan.

“Saya juga berharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk membina rangkaian profesional, serta menghasilkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan Program Jangkauan Komuniti yang berimpak tinggi bersama dengan felo seperjuangan.

“Saya turut teruja untuk menerokai senario politik dan mendalami tugasan-tugasan yang dilaksanakan di peringkat kementerian,” katanya.

Mengulas lanjut Pei Ling yang mesra dipanggil Ada memberitahu bahawa beliau akan mengaplikasi sepenuhnya segala ilmu pengetahuan yang diperoleh di UMS sepanjang berkhidmat di K-KOMM.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk berterima kasih kepada mentor saya, para pensyarah UMS, ahli keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan dan dokongan kepada saya.

“Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik sepanjang program Felo Perdana 2022,” katanya.

Untuk rekod kesemua Felo Perdana akan berada di kementerian masing-masing sehingga 31 Disember 2022.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Gandingan ayah, anak cipta legasi keluarga cemerlang dalam akademik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular