Stesen Penyelidikan Hibrid MARDI diyakini mampu beri manfaat kepada petani, pekebun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

ARAU : Stesen Penyelidikan Hibrid Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perlis – YTSS yang baharu diyakini akan dapat memberi pengertian yang bermakna kepada semua khususnya para petani dan pekebun di negeri Perlis.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha penyelidikan MARDI selama hampir 40 tahun telah berjaya membantu memampankan lagi sektor pertanian.

Katanya, selain itu ianya juga akan dapat menyokong hasrat Kerajaan untuk terus mentransformasi dan memodenkan lagi sektor pertanian dan Industri makanan negara demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.

Majlis penyerahan Stesen Penyelidikan Hibrid MARDI Perlis- YTSS itu turut dihadiri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin AlMarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Stesen Penyelidikan Padi Hibrid MARDI Perlis merupakan stesen yang terlibat dalam pembangunan teknologi pengeluaran padi hibrid dan inbred untuk peningkatan tahap sara diri beras negara.

Di stesen penyelidikan ini, aktiviti penyelidikan yang dijalankan adalah pembangunan induk dan varieti hibrid, pengeluaran benih padi hibrid, pembangunan pakej agronomi padi hibrid, penilaian prestasi padi hibrid dan inbred di peringkat percubaan multilokasi dan penentusahan setempat.

Nama Stesen Penyelidikan Hibrid MARDI Perlis-YTSS dipilih sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin AlMarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Ianya selaras dengan fokus terkini stesen ini yang tidak hanya tertumpu kepada penyelidikan dan pembangunan padi hibrid sahaja, tetapi juga melangkaui kepada tanaman-tanaman yang lain.

Tambahan lagi, Stesen Penyelidikan Hibrid MARDI Perlis juga berperanan untuk penyampaian maklumat berkaitan teknologi kepada golongan sasar bagi aktiviti promosi dan pembangunan perniagaan serta kepada aktiviti penyelidikan yang memfokuskan kepada padi dan harumanis.

Penubuhan Stesen Penyelidikan Hibrid MARDI Perlis turut mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Kerajaan Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin.

MARDI Perlis yang dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, kemudahan ladang, makmal dan kilang pemprosesan padi yang lengkap untuk menjalankan penyelidikan berkaitan padi.

Pembangunan MARDI Perlis siap sepenuhnya pada tahun 2011 dan telah di rasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.

Bersempena dengan majlis itu juga, Tuanku Raja Perlis turut diperkenalkan dengan tiga varieti tanaman baharu iaitu Jagung Bijirin yang dinamakan dengan Nurlin, Varieti Jagung Manis iaitu SR1 dan Varieti Padi Baharu yang dinamakan dengan nama Farah.

Pengenalan tiga varieti baharu ini merupakan hasil kajian adaptasi percubaan penentusahan setempat oleh Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) yang menunjukkan keputusan yang memberansangkan.

Majlis turut dihadiri oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Azlan Man.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *