Sabah FC bangkit benam PJ City

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

PETALING JAYA : Kebangkitan Sabah FC pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang tiga mata selepas menewaskan Petaling Jaya (PJ) City FC 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Skuad kendalian P.Maniam memulakan babak separuh masa pertama dan turut mengawal permainan menerusi beberapa percubaan ke gawang pasukan lawan.

Sabah FC yang bermain tanpa beberapa tonggak utama pasukan berjaya mematahkan serangan PJ City FC.

Namun penyerang tuan rumah, Darren Lok berjaya mengecewakan pasukan pelawat selepas menanduk masuk bola hasil sepakan percuma seterusnya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-34.

Tamat masa rehat, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerang import Taiki Kagayama yang berjaya menjaringkan gol selepas menerima  bola hasil hantaran Nazirul Naim pada minit ke-47.

Hasrat PJ City FC untuk membawa pulang satu mata di laman sendiri tidak kesampaian selepas Sabah FC menambah gol kedua menerusi Irfan Fazail yang menolak masuk bola hasil hantaran Maxsius Musa pada minit ke-75.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan menjadikan Sabah FC memungut 28 mata berada ditempat kedua Liga Super dibelakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sabah FC akan bertemu Melaka United FC di Stadium Likas 31 Julai ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *