Seorang peluncur udara berjaya diturunkan setelah hampir 10 jam tersangkut atas pokok

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki peluncur udara berjaya diturunkan dengan selamat selepas hampir sepuluh jam payung terjun dikendalikannya hilang kawalan dan tersangkut di atas pokok pada ketinggian 30 meter semasa melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Bukit Kokol, Manggatal, di sini tengah hari semalam.(26 Julai)

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari semalam (26 Julai) mengenai kejadian tersebut.

“Sebaik saja pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa yang melakukan aktiviti luncur udara, payung terjun dikendalikannya hilang kawalan dan tersangkut di atas pokok pada ketinggian 30 meter.

“Seterusnya pasukan Bomba bertindak melakukan operasi penyelamatan dengan bantuan dron daripada Kelab Dron D’Bayu untuk menaikkan tali tangsi ke atas pokok kemudian mangsa akan menurunkan tali tangsi ke bawah dan seterusnya menarik tali penyelamat untuk turun daripada pokok berkenaan.

“Mangsa berusia 35 tahun itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian badannya dan berjaya diturunkan dengan selamat pada jam 10.13 malam tadi.

“Pasukan Bomba mengiring mangsa bergerak ke Pos Kawalan sejauh 2 kilometer dari lokasi mangsa jatuh dan tersangkut dipokok. Mangsa seterusnya diberi rawatan oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba di Pos Kawalan dan dihantar ke rumah penginapan mangsa,” kata kenyataan itu.

Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *