RTSA rujukan penting rancang pelan pembangunan sektor pelancongan

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Inisiatif membangunkan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (RTSA) bagi negeri ini dilihat tepat dan ianya adalah sejajar dengan pembukaan semula sektor pelancongan di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, ianya juga merupakan rangka kerja yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mengukur sumbangan sektor pelancongan terhadap ekonomi.

“Saya berpendapat ianya tepat pada masanya bagi negeri Sabah untuk menerima pakai kaedah ini sejajar dengan pembukaan semula sektor pelancongan dan juga ianya rangka kerja yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Maklumat dan data-data yang akan diperolehi daripada sistem ini amat bermanfaat bagi negeri Sabah untuk lebih memahami sektor pelancongan negeri Sabah.

“Ianya juga akan dijadikan rujukan penting dalam merancang pelan pembangunan sektor pelancongan dan panduan dalam menggubal dasar pelancongan dan ekonomi negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pelaksanaan RTSA Sabah di sini semalam.

Jafry berkata, pihaknya percaya maklumat yang diperolehi daripada RTSA itu boleh digunakan sebagai rujukan pihak berkepentingan dan pelabur perniagaan yang berhasrat meneroka peluang perniagaan pelancongan di negeri ini.

“Antara maklumat-maklumat yang akan dibangunkan melalui sisrem ini adalah Perbelanjaan pelancongan inbound; Perbelanjaan pelancongan domestik; Perbelanjaan pelancongan outbound; Penggunaan pelancongan internal; Akaun pengeluaran industri pelancongan pada harga semasa;  Jumlah penawaran dan penggunaan pelancongan dan Guna tenaga dalam industri pelancongan.

“Dijangka, seawal 2023 kita akan dapat menjana perangkaan awal bagi jadual-jadual yang saya sebutkan tadi,” katanya

Sementara itu, Jafry berkata, menerusi Kementeriannya, satu Jawatankuasa Pemandu dan Teknikal akan dilaksanakan sebagai badan penasihat dan penyelaras projek.

Katanya, ianya adalah bagi memantau perkembangan survei serta penyelasan data statistik untuk digunakan dalam laporan RTSA yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Projek ini akan dipantau dan diselaraskan di bawah Lembaga Pelancongan Sabah (LPS).

“Saya memandang pelaksanaan projek ini sebagai satu langkah kehadapan bagi meningkatkan lagi mutu dan usaha kerajaan negeri dalam pembangunan berterusan sektor pelancongan dengan adanya statistik maklumat yang lebih menyeluruh dan tepat.

“Saya juga percaya kemudahan ini juga dapat dicapai oleh pihak berkepentingan dan pelabur perniagaan dalam dan luar negara dalam membantu perusahan mereka di Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.