Alumni berperanan bantu jana kecemerlangan sekolah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

TAMPARULI: Alumni pelajar berperanan penting dalam menjana kecemerlangan sekolah menerusi jalinan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, ini kerana alumni mampu memberi khidmat kepada bekas sekolah bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal sekolah malah turut menyalurkan idea-idea penting untuk menambah baik prasarana sekolah.

“Selain membantu dari segi kewangan, kedua-dua entiti ini juga boleh saling melengkapi antara satu sama lain dalam membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah menjalani proses pengajaran dan pembelajaran pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Damit, di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PIBG, Justin Matanggal, dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Damit, Alizizah Sipil.

Jahid berkata, pembabitan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada sekolah adalah penting bagi mengekalkan serta mengembangkan pembangunan sesebuah sekolah itu.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan tahniah kepada gabungan kepimpinan sekolah dan PIBG atas pelbagai usaha dalam membuat transformasi kepada sekolah, dengan harapan semoga hubungan seumpama ini berkekalan,”katanya.

Beliau turut yakin penubuhan alumni juga mampu melahirkan potensi untuk setiap bekas pelajar menyumbang kepada sekolah dalam cara dan skala yang pelbagai.

Katanya, alumni yang berjaya juga berperanan sebagai contoh atau ‘role model’ kepada para pelajar yang masih menuntut di sekolah berkenaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *