JPSM kekal relevan laksana program pembangunan modal insan

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) kekal relevan dengan pelaksanaan program-program pembangunan modal insan di negeri ini selama hampir 34 tahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, jabatan yang mula berfungsi bagi memenuhi keperluan latihan pegawai perkhidmatan awam kini berjaya muncul sebagai sebuah organisasi pembangunan modal insan yang sangat penting.

Katanya, jabatan itu juga berjaya membantu masyarakat untuk berhadapan dengan pandemik COVID-19 dalam meningkatkan sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat negeri ini melalui program kemahiran yang dilaksanakan.

“Sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab meningkatkan kemahiran rakyat atau belia-beliawanis negeri Sabah, saya telah dimaklumkan bahawa pada tahun 2021; JPSM telah berjaya melaksanakan sebanyak 228 kursus kemahiran dan keusahawanan.

“Antaranya adalah seperti tujuh Kursus Jangka Panjang; lapan Kursus Pendek; 106 Kursus Dalam Talian; 16 Kursus Khas (kerjasama strategik) dan 91 Kursus Ad-Hoc,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun JPSM Ke-34 di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Zainuddin Aman.

Yakub berkata, kursus-kursus yang diadakan itu adalah melibatkan seramai 1,581 peserta lelaki dan 3,661 peserta wanita dari seluruh Sabah.

Katanya, dari tahun 2021 hingga kini, seramai 404 Orang pelatih telah berjaya menjalani latihan teknikal dan perdagangan di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) yang secara langsung turut menyumbang kepada penyediaan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya tahan.

“Saya juga ingin ucapkan syabas kepada JPSM kerana sentiasa berusaha bagi mengurangkan kadar pengangguran serta membasmi kemiskinan di negeri Sabah.

“Seperti yang dimaklumkan iaitu pada tahun 2021 JPSM dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya melaksanakan sebanyak tiga karnival kerjaya dan seramai 265 pencari kerja telah mendapat pekerjaan,” katanya.

Antara karnival kerjaya yang dilaksanakan adalah Penjana Kerjaya Karambunai pada 06 April 2021 yang berjaya memberi tawaran pekerjaan kepada 118 pencari kerja;  Karnival Kerjaya Kota Kinabalu pada  29 November 2021 yang berjaya memberi tawaran pekerjaan kepada 59 pencari kerja dan Karnival Kerjaya Beaufort pada 4 Disember 2021 yang berjaya memberi tawaran pekerjaan kepada 88 pencari kerja.

Yakub berkata, bermula tahun 2021 sehingga bulan Jun 2022, sebanyak lapan Siri karnival pekerjaan/kerjaya telah berjaya dilaksanakan dan seramai 1,336 Orang pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan.

Katanya, kejayaan JPSM ini sudah pasti terhasil daripada komitmen padu barisan kepimpinan dan semua peringkat warga kerja JPSM.

“Justeru itu, rakaman setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Pengarah, barisan pengurusan dan semua warga JPSM sekali lagi yang berusaha gigih mengatur strategi dan pelan tindakan kesinambungan fungsi utamanya iaitu penyampaian perkhidmatan latihan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.