Polis buru lelaki kes curi minuman keras

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:59 Second

KOTA KINABALU: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes curi di sebuah pasar raya di Pusat Komersial 88, Kepayan, dekat sini, pada 28 Julai lalu.

Kejadian itu hanya disedari pekerja pasar raya berkenaan kira-kira jam 1 petang, Selasa lalu, selepas sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kes kecurian membabitkan dua botol wiski berjenama Louis Chevallier XO (750ml) dan Larsen XO Reserve.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian membabitkan hanya seorang suspek yang mencuri minuman keras berkenaan dalam rakaman CCTV premis itu.

“Seorang lelaki yang tidak dikenali memakai pelitup separuh muka masuk ke dalam kedai dan mencuri dua botol wiski berkenaan.

“Suspek dirakam memasukkan kedua-dua botol berkenaan ke dalam baju yang dipakai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek kemudiannya keluar daripada premis berkenaan tanpa membuat sebarang pembayaran. Anggaran kerugian pemilik premis RM1146.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengenali suspek.

“Maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *