50 perjawatan baharu Wildlife Crime Bureau PDRM diluluskan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 14 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia telah meluluskan 50 perjawatan baharu untuk menubuhkan Wildlife Crime Bureau (WCB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pertengahan Julai lalu.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 50 perjawatan baharu Wildlife Crime Bureau (WCB) telah diluluskan dan akan distrukturkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM yang berpusat di Bukit Aman.

“Penubuhan WCB ini diharapkan dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar turut perlu diberikan perhatian dan tindakan penguatkuasaan yang proaktif, selari dengan jenayah-jenayah konvensional dan bukan konvensional lainnya.

“Kelulusan ini telah diperolehi pada pertengahan Julai lalu, saya percaya dengan penubuhan Wildlife Crime Bureau ini akan memberikan impak yang lebih besar dalam usaha untuk kita memerangi jenayah-jenayah yang berkaitan dengan hidupan liar khususnya pemburu-pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan melibatkan spesis-spesis yang dilindungi dan terancam,”katanya pada sidang media Sempena Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 11 Bil. 2/2022, di sini, hari ini.

Menurut Acryl Sani, 50 WCB dari PDRM akan diwujudkan secepat mungkin untuk mengenalpasti pegawai yang terlibat menganggotai WCB yang akan bertanggungjawab mengurus kes-kes jenayah hidupan liar termasuk di Sabah dan Sarawak manakala dalam Jabatan PERHILITAN seramai 115 Wildlife Crime Unit (WCU ) akan ditempatkan setiap negeri di seluruh Malaysia.

Menyentuh mengenai mesyuarat OBK kali ini, Acryl Sani berkata, mesyuarat telah memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) Operasi Bersepadu Khazanah untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kenapa ada tiga SOP? kerana di Semenanjung kita menggunakan akta yang berbeza, ordinan di Sarawak dan begitu juga di Sabah adalah berbeza tetapi gerak kerja hampir sama hanya peruntukan ordinan saja yang tidak sama dan SOP ini berkuatkuasa hari ini.

“Walaupun SOP yang berbeza namun kita dapat menyelesaikan kes-kes yang melibatkan hidupan liar ini dengan kerjasama yang padu antara semua pihak yang terlibat dalam OBK ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim turut memaklumkan perkara yang ditekankan dalam mesyuarat OBK itu, jabatannya akan menguatkuasakan akta pindaan hidupan liar iaitu menaikkan denda daripada RM500,000 ke RM1 juta jika sabit kesalahan memiliki hidupan liar terlindung manakala penjara 10 tahun dinaikkan ke 15 tahun.

“Kita akan meneruskan kerjasama dengan PDRM, agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di Malaysia untuk menangani kes-kes hidupan liar, kita mahu hidupan liar ini terus kekal di masa akan datang,” katanya.

Manakala pada sidang media sama, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Dato’ Zazuli Johan turut berkongsi antara kejayaan-kejayaan JKDM bagi tempoh pelaksanaan Operasi Bersepadu Khazanah bermula tahun 2019 hingga 2021.

Katanya, JKDM telah berjaya merampas pelbagai spesis hidupan liar yang bernilai RM112 juta. Sebanyak lebih 65 tan kayu red sanders dan lebih 6 tan sisik tenggiling dirampas dan serahkan kepada Pihak Berkuasa Pengurusan bagi tujuan pelupusan.

“JKDM turut juga berjaya menyelamatkan pelbagai jenis hidupan antara 4500 ekor burung murai kampung di kawasan pesisir pantai Johor bagi pasaran gelap Indonesia dan lebih 6000 ekor kura-kura pelbagai jenis yang dibawa masuk oleh penumpang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang kebanyakan bagi pasaran gelap China.

“Pada 12 Julai lalu, menerusi pemeriksaan fizikal ke atas kontena, JKDM telah menemui serta merampas sejumlah besar gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, dan beberapa item lain, dengan nilai rampasan berjumlah RM73 juta,”katanya.

Zazuli berkata, kejayaan ini bukan sahaja menyerlahkan peranan signifikan JKDM dalam penguatkuasaan undang-undang negara, malah turut menyelamatkan khazanah alam demi kelestarian warisan sejagat.

Kejayaan-kejayaan yang telah dicapai melalui OBK, Acryl Sani berkata, usaha ini akan diteruskan dan digandakan pada masa akan datang. Malah tindakan bersepadu ini bukan sahaja agensi-agensi kerajaan tetapi juga melibatkan wakil-wakil badan bukan kerajaan yang aktif dalam memulihara khazanah negara.

“Media massa juga berperanan meningkatkan kesedaran pendedahan kepada masyarakat umum kepentingan untuk kita mengekal, memulihara serta memelihara khazanah negara khususnya fauna dan flora yang masih lagi dapat dikekalkan bagi generasi akan datang,” tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *