Hargai jasa veteran pasukan keselamatan – Ruslan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

BEAUFORT : Jasa dan pengorbanan anggota veteran pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negara perlu terus dihargai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam berkata, ia termasuklah memberi penghargaan menerusi penyaluran sumbangan yang akan dapat memberi sedikit kelegaan Dan meringankan beban ekonomi para veteran, balu atau waris yang terlibat.

“Pada hari ini (semalam), kita telah pun memasuki Bulan Kebangsaan jadi amatlah sesuai jika program-program disasarkan kepada usaha mengenang dan membantu para waris, balu ataupun veteran yang telah mencurah bakti kepada negara.

“Dalam kata lain, perlu ada rasa kasih sayang bukan sahaja kepada veteran tentera, tetapi juga polis serta penjawat awam yang lain yang turut menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 46 penerima ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) masing-masing 36 ahli dari Beaufort dan 10 ahli dari Sipitang menerima sumbangan wang tunai daripada YNJ serta produk makanan Adabi yang disampaikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Toh Puan Norlidah turut diiringi Ruslan serta isteri, Norsiah Santri, Pegawai Daerah, Mohd Nazri Anjum serta Pengerusi Puspanita, Dayang Hanim Awang Basir dan Pegawai Daerah Sipitang, Awangku Raimy Pg Abd Rahman.

Sementara itu, Pengurus Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd, Muhamad Zahari Muhd Nasir berkata, penglibatan pihaknya dalam sumbangan terbabit adalah melalui konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan dan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

“Sumbangan ini adalah hasil perniagaan Adabi di Sabah dan kami pulangkan semula kepada rakyat Sabah yang memerlukan.

“Kami akan bersama-sama YNJ di mana saja untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bentuk makanan,” katanya.

Katanya, Adabi telah menyumbang produk makanan Adabi kepada 86 ahli PVATM daerah Papar, Beaufort dan Sipitang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *