Sawit Kinabalu perkenal varieti nanas jenis MD2

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU : Kumpulan Sawit Kinabalu telah memperkenalkan buah nanas jenis MD2 pada Pameran Ternakan, Akuakultur dan Pertanian (LAA Sabah) kali ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Program yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu telah dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sawit Kinabalu dalam satu kenyataan berkata, buah nanas MD2 itu telah ditanam di Ladang Kabang Papar.

Pengurusan dan kakitangan Sawit Kinabalu yang hadir pada Pameran LAA Sabah

“Nanas MD2 yang dipamerkan dan diperkenalkan pada LAA Sabah ini menjadi antara tumpuan ramai bagi penggemar buah nanas kerana isinya yang manis dan mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi.

“Pada masa akan datang, Ladang Kabang juga akan turut menambah tanaman nanas dari varieti yang lain, seiring dengan saranan kerajaan untuk membangunkan industri nanas di Sabah,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Penjualan produk daging turut diadakan di booth pameran Sawit Kinabalu

Kenyataan itu turut berkata, selain nanas, beberapa produk lain turut dipamerkan pada LAA Sabah tersebut.

Antara produk yang dipamerkan ialah daging premium Brahman-Cross, Badang Mechanical Buffalo, dan pelbagai jenis bibit durian.

Penghasilan anak benih Pisang Berangan menggunakan kaedah pembiakan kultur tisu juga turut diterangkan kepada pengunjung.

Terdahulu, Hajiji dalam ucapan perasmian berkata, Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM561.81 juta di bawah Belanjawan 2022 untuk memastikan produktiviti dan kualiti produk pertanian Sabah yang mampan.

Katanya, ia juga adalah bagi memastikan Tahap Sara Diri (SSL) Sabah ditingkatkan setiap tahun melalui pelbagai inisiatif permodenan.

Menurutnya lagi, sektor pertanian yang meliputi tanaman, penternakan dan perikanan adalah satu daripada tiga sektor ekonomi utama dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selama lima tahun bermula 2021.

Dua lagi sektor ekonomi utama dalam Hala Tuju SMJ ialah industri pembuatan dan pelancongan, yang antara lain membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman dan makmur, mengoptimumkan sumber dan hasil negeri serta meningkatkan ekonomi rakyat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *