Pengguna sambut baik penetapan harga siling minyak masak, peniaga patuh arahan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Harga siling minyak masak tulen kemasan botol di peringkat runcit di seluruh negara yang ditetapkan Kerajaan berkuat kuasa pada hari ini mendapat pelbagai reaksi dari pengguna khususnya golongan suri rumah.

Penentuan harga melibatkan minyak masak tulen botol satu kilogram, dua kilogram, tiga kilogram dan lima kilogram itu akan ditentukan secara bulanan untuk seluruh negara mengikut purata harga minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya.

Tinjauan Sabah Media ke beberapa premis perniagaan sekitar bandaraya Kota Kinabalu mendapati para peniaga mematuhi penetapan harga siling minyak masak sawit tulen botol yang telah ditetapkan Kerajaan.

Minyak masak botol satu kilogram yang dijual RM7.70

Pengguna, Jess Joseph mengakui harga siling yang ditetapkan Kerajaan itu dilihat mempunyai kebaikan namun terdapat juga keburukan khususnya kepada pengguna.

“Harga siling minyak masak yang ditetapkan Kerajaan berkuatkuasa pada hari ini dilihat mempunyai Pro dan Kontra khususnya kepada pengguna dan peniaga.

“Sudah pasti dengan penetapan harga siling ini ianya akan dapat mengurangkan beban rakyat terutamanya dikalangan golongan B40/M40. Namun bekalan akan susah untuk didapati dan peniaga akan berhati-hati untuk mengeluarkan stok bekalan sekiranya harga akan naik pada bulan seterusnya,” katanya.

Bagi Hafizah Hussin pula, penetapan harga siling minyak masak tulen botol yang berubah setiap bulan dilihat baik kepada pengguna.

Minyak masak botol dua kilogram yang dijual dengan harga RM14.70

“Jika sebelum ini minyak masak bagi lima kilogram jenama Buruh berharga lebih RM40 namun pada kali ini ia ditetapkan pada RM34.70 dan bagi saya ia merupakan satu langkah yang baik untuk mengurangkan beban pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di tujuh premis tumpuan sekitar King Fisher, Likas, Kota Kinabalu, Tanjung Aru dan Putatan.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, hasil tinjauan mendapati sebanyak enam premis telah mematuhi penetapan harga siling minyak masak sawit tulen botol.

Katanya, sebuah premis lagi telah diberi amaran dan diminta untuk menukar tanda harga siling baru serta-merta kerana masih menggunakan tanda harga lama.

“Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan kestabilan harga barangan dan keberadaan bekalan, Kementerian ini akan sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap hari untuk melihat sendiri tahap pematuhan peniaga sempena pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Minyak Masak.

“Selain itu pihak Kementerian juga turut memaklumkan kepada pengguna bahawa Kerajaan begitu prihatin dan serius dalam membantu mengurangkan beban Keluarga Malaysia akibat peningkatan kos sara hidup (COL) yang berlaku melalui langkah penetapan harga maksimum ini,” katanya.

Katanya, para peniaga juga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

“Walau bagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh daripada pembekal lebih rendah.

“KPDNHEP berharap agar semua peniaga termasuklah premis-premis yang berada di luar bandar untuk terus mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas selain bekerjasama dengan Kerajaan untuk memastikan keberadaan barang keperluan terutamanya minyak masak serta tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan secara tidak munasabah (mencatut),” katanya.

Penetapan harga siling minyak masak sawit tulen botol yang bermula hari ini sehingga 7 September depan ditetapkan adalah seperti satu kilogram RM7.70 ; dua kilogram RM14.70; tiga kilogram RM21.70 dan lima kilogram RM34.70.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *