Tudung Instant berkeronsang Jalur Gemilang dapat sambutan

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Menjelang sambutan sempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini dapat dilihat menerusi pengibaran Jalur Gemilang di seluruh kawasan perumahan, jalan raya, premis bangunan, kenderaan dan tidak kurang juga ada yang melahirkan semangat patriotisme rakyat cara kreatif dengan meletakkan logo bendera pada pakaian.

Pekerja butik Noridah Nelson, 44, berkata, sebelum kerajaan melarang cara pengunaan Jalur Gemilang pada pakaian, butiknya ada menjual pakaian dan tudung dicetak Jalur Gemilang seluruh pakaian tetapi kali ini butiknya hanya menjual tudung yang dilekatkan logo berbentuk keronsang Jalur Gemilang sahaja.

Noridah menunjukkan Tudung Instant berkeronsang Jalur Gemilang dijual di Butik Faezah.

“Bagaimanapun tudung keronsang Jalur Gemilang yang kami jual ini mendapat sambutan dari pelanggan setia kami walaupun bukan bendera pada pakaian sepenuhnya.

“Walaupun ia (keronsang) kelihatan kecil terletak di bahagian depan tudung tapi semangat patriotisme si pemakainya sangat besar untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Negara kita pada kali ini sejak dua tahun lalu ia tidak disambut meriah akibat pandemik Covid-19,” kata Noridah semasa ditemui pemberita Sabah Media di Butik Faeeza, Wisma Karamunsing di sini, hari ini.

Tudung ‘instant’ yang diletak keronsang Jalur Gemilang tu adalah jenis chiffon dan cotton lembut.

Noridah yang juga seorang pekerja butik pakaian lebih 10 tahun pengalaman itu berkata, ada pelbagai cara untuk kita melahirkan semangat cintakan negara Malaysia, bukan hanya pada material yang dipakai tetapi minda kita, selaras dengan tema sambutan pada tahun ini “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”, ia jelas menunjukkan agar kita sentiasa bersatu padu demi menjaga keharmonian hidup sebagai sebuah keluarga besar di negara ini.

Dalam pada itu, Noridah turut berharap logo Jalur Gemilang sebagai keronsang tudung jualannya bukanlah satu penghinaan kepada bendera Malaysia dan cara di mana ia diletakkan.

Kekeliruan rakyat mengenai perkara itu adalah susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOMM) pada tahun lalu penggunaan Jalur Gemilang pelbagai gaya seperti dijadikan kain tudung, pakaian, songkok, sampin dan sebagainya adalah tidak dibenarkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.