Kerajaan Negeri cadang Pinda Enakmen Hutan 1968 seiring Pindaan Akta Perhutanan Negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bercadang meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri dapat bergerak seiring dengan pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan pindaan itu juga mencakupi aspek-aspek yang lebih mencabar dalam dunia perhutanan dewasa ini, termasuklah untuk memenuhi agenda antarabangsa bagi mengatasi isu-isu perubahan iklim, kaedah mitigasi melalui perdagangan karbon dan pemuliharaan biodiversiti.

“Ia juga memperkemas ruang-ruang atau gap kerjasama di antara pelesen-pelesen Sustainable Forest Management Licence Agreement (Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA)) dengan Kerajaan Negeri, selaras dengan visi pengurusan hutan mampan.

“Saya berpendapat sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri Sabah juga menjalankan usaha yang serupa untuk meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Perhutanan Tahun 2022 (MAPT2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pindaan terhadap APH 1984 bertujuan meningkatkan perlindungan hutan kekal di Malaysia, dan telah menggariskan syarat-syarat yang ketat untuk pewartaan keluar sebarang kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.

“Dalam aspek ini saya percaya mereka telah mencontohi kita, kerana ia lebih awal diamalkan di Sabah. Saya juga difahamkan bahawa melalui pindaan APH, kadar denda, hukuman dan penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar juga telah dinaikkan.

“Berdasarkan kepada perkembangan ini, saya menyarankan agar Jabatan Perhutanan Sabah dan juga jabatan-jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Peguam Besar Negeri dan Pejabat Setiausaha Hasil Bumi, untuk terus mengkaji semula peruntukan-peruntukan yang ada dalam Enakmen Hutan 1968, dan mengasimilasikan pindaan-pindaan yang telah dibuat itu, mengikut kepentingan Kerajaan Negeri”, katanya.

Menurutnya, usaha juga perlu terus ditambah baik bagi memantapkan pengurusan kawasan
hutan simpan, dalam menyokong dasar kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurang 50 peratus keluasan tanah negeri dilitupi kawasan berhutan, serta mencapai 30 peratus Kawasan Terlindung Sepenuhnya (Totally Protected Areas (TPA)).

Hajiji mengucapkan syabas kepada Jabatan Perhutanan Sabah kerana telah berjaya mengorak langkah awal meletakkan sasaran 30% kawasan TPA negeri Sabah mendahului negeri-negeri dan wilayah lain di Malaysia.

“Atas usaha Ketua Konservator Hutan dan kerja berpasukan yang diamalkan warga Perhutanan, kita rakyat Sabah berbangga kerana separuh daripada keluasan negeri ini masih kekal dilitupi hutan. Kita sebenarnya adalah antara penyumbang utama dalam mitigasi perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

“Beberapa langkah proaktif telah diambil untuk mengelakkan hutan kita daripada terancam pada masa hadapan melalui pemantapan aktiviti penguatkuasaan dan pengurusan hutan secara mampan. Antaranya ialah melalui usahasama oleh Kerajaan Negeri bersama-sama dengan pemegang SFMLA, melalui konsep smart partnership. Melalui usahasama ini, seluas lebih kurang 1.65 juta hektar kawasan Hutan Simpan Komersial Kelas II telah pun dilesenkan kepada pemegang lesen SFMLA, untuk diurus melalui konsep Pengurusan Hutan Mampan”, katanya.

Beliau juga telah melawat dua buah kawasan SFMLA iaitu Jawala Plantation Industries Sdn. Bhd. Dan Sapulut Forest Development Sdn. Bhd pada Julai lalu untuk melihat sendiri
kemajuan pembangunan ladang hutan di kedua-dua kawasan.

“Saya mendapati kedua-dua kawasan ini telah menunjukkan kemajuan positif dalam membangunkan ladang hutan dalam kawasan lesen mereka.

“Pencapaian ini perlu dijadikan contoh oleh semua pemegang lesen SFMLA yang telah diberikan amanah untuk membangunkan ladang hutan di Sabah. Semoga momentum pembangunan ladang hutan ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan di masa hadapan, bagi mendokong hasrat Kerajaan
Negeri untuk membangunkan sektor perladangan hutan secara progresif”, tegasnya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri juga berharap warga kerja Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) mengaplikasikan transformasi digitalisasi dalam perkhidmatan harian agar sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam terutamanya bagi sektor perhutanan dapat ditambah baik secara berterusan, disampaikan dengan lebih pantas dan memberi kepuasan kepada pelanggan serta rakyat Sabah khususnya.

Pada majlis MAPT2022 itu, seramai 63 kakitangan JPS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 32 pemegang lesen Sustainable Forest Management Licence Agreement (Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA)),13 Projek Pengurusan Hutan Mapan (SFM) dianugerahkan dengan Sijil Kepatuhan (Compliance Certificate) untuk tahun 2021 dan 13 penerima Anugerah Rakan Konservasi JPS sebagai pengiktirafan bagi sumbangan dan komitmen dalam melaksanakan agenda konservasi di negeri ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *