Program Sahabat Maritim dekati komuniti nelayan pesisir pantai.

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysi (Maritim Malaysia) telah menganjurkan Program Sahabat Maritim peringkat zon dengan kerjasama Kelab Sukan Memancing Tanjung Batu Logpond di Jeti Awam Sungai Logpond,Tawau di sini pagi semalam.

Program Sahabat Maritim dengan tema ‘Komuniti Peka Maritim Sedia’ itu telah dirasmikan Pengarah Zon Maritim Tawau , Kepten Maritim Shahrizan Raman bersama Presiden Kelab Sukan Memancing Logpond, Irwan Japar.

Hadir sama  memeriahkan majlis Ketua Kampung Keramat, Abdul Rahman Borhan,Wakil Ketua Anak Negeri,Pemaju Mukim,JPKK kawasan setempat serta penduduk kampung dari kawasan Tanjung Batu,Merotai dan Kalabakan.

Dianggarkan lebih 100 orang penduduk yang terdiri daripada golongan nelayan dan pemancing telah hadir bagi memeriahkan lagi suasana program dan turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah, gotong-royong membaik pulih jeti, sesi dialog bersama nelayan, taklimat keselamatan di laut, penyampaian sumbangan jaket keselamatan, sumbangan kepada golongan asnaf serta pameran keselamatan dan kerjaya Maritim Malaysia.

Shahrizan berkata,objektif utama program diadakan bertujuan bagi merapatkan lagi jaringan kerjasama di antara Maritim Malaysia dan komuniti nelayan pesisir pantai.

Katanya, selain itu,program juga diadakan bagi memberi kesedaran tentang keselamatan di laut serta mempromosikan peranan dan tugas Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.

“Komuniti maritim yang merupakan mata dan telinga kepada Maritim Malaysia disarankan untuk terus berkongsi maklumat salah laku jenayah rentas sempadan jika mendapati berlakunya sebarang perlanggaran undang-undang di kawasan tertentu,” katanya.

Dalam majlis sama, Shahrizan turut merasmikan Surau An Nur di jeti Kelab Memancing Logpond yang disediakan bagi kegunaan nelayan dan pemancing setempat.

Program tahunan yang diadakan ini dilihat mampu untuk memberi ruang kepada golongan nelayan dan pemancing untuk berkongsi pelbagai maklumat dan isu-isu penting dalam usaha memastikan kawasan perairan bebas daripada ancaman keselamatan jenayah rentas sempadan.

Shahrizan berkata, Maritim Malaysia sentiasa mengekalkan hubungan baik bersama masyarakat setempat dalam melaksanakan peranan tugas sebagai agensi keselamatan.

Katanya, pemerkasaan penguatkuasaan amatlah penting bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khusunya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752 116 dan talian kecemasan 999,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *