Tiga daerah tumpuan Misi Sukarelawan Siswa di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Seramai 100 orang pemimpin sukarelawan siswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menyertai Misi Sukarelawan Siswa di enam lokasi merangkumi tiga daerah di negeri ini.

Pemimpin sukarelawan siswa yang terlibat adalah merangkumi Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Guru (IPG).

Program anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu telah bermula pada 28 Ogos lalu dan akan berakhir pada 14 September ini.

Majlis Flag-Off misi sukarelawan siswa itu telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Rasid Mail di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Lembaga Pengarah YSS Sherene Azura Azli.

Enam lokasi di tiga buah daerah itu adalah merangkumi daerah Kudat; Tuaran dan Beluran selain peserta akan tinggal bersama dengan penduduk tempatan selama dua minggu untuk menyelami konsep “immersion; eat, live and breathe with the community” yang diterapkan dalam setiap misi YSS.

Pelaksanaan misi ini adalah berteraskan enam teras YSS merangkumi pemerkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan dan pembangunan kapasiti, ketahanan terhadap impak perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar, kesihatan, transformasi digital dan mobilisasi impak sosial.

Enam teras tersebut adalah selari dengan matlamat YSS dalam mendukung pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah mencapai Agenda 2030.

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-65 serta Hari Malaysia ke-59, para sukarelawan akan menjalankan aktiviti bersama komuniti setempat untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan serta semangat cintakan negara seiring dengan tema tahun ini “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”.

Aktiviti seperti ini juga akan meningkatkan jati diri dalam kalangan mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan Negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *