Alesyah diumumkan sebagai 10 terbaik bagi merebut ‘Global Student Prize’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU :  Pelajar Kolej Vokasional Keningau (KVK) Alesyah Asa,20, yang menjadi wakil tunggal negara bagi merebut gelaran juara Global Student Prize 2022 anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat berjaya diumumkan sebagai 10 peserta terbaik.

Selepas berjaya diumumkan sebagai 10 peserta terbaik, pelajar teknologi pembinaan di KVK itu semakin hampir dengan anugerah yang menawarkan hadiah sebanyak USD100,00.00 bersamaan dengan RM445,000.

Anak kelahiran Nabawan itu turut  berjaya membuktikan golongan wanita juga boleh mencapai kecemerlangan dalam bidang vokasional yang sebelum ini didominasi oleh lelaki.

“Secara peribadi, saya berasa terkejut, gembira dan terharu apabila dimaklumkan sendiri oleh pihak Chegg.org bahawa saya terpilih menjadi 10 peserta terbaik bagi merebut anugerah berkenaan.

“Selain itu, ibu saya juga turut gembira dan terharu dengan pengumuman ini termasuklah guru Bahasa Inggeris saya yang juga mentor kepada projek ini iaitu Dr Sirhajwan Idek,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.

Alesyah turut mengakui tidak menjangka dengan keputusan yang diumumkan menjadi sebagai 10 peserta terbaik dunia dalam anugerah berkenaan.

Sekiranya berjaya merangkul anugerah itu katanya, dia akan menggunakan wang tersebut untuk melabur dalam projek Eureka Hub beliau.

Menurutnya, Eureka Hub ini merupakan satu projek yang diketuai oleh beliau sendiri dimana projek ini mendedahkan dan membantu komuniti dalam bidang robotik, drones, 3D printing dan dalam bidang keusahawanan.

Alesyah disenarai pendek sebagai 10 terbaik daripada lebih 7,000 pencalonan sebelum ini dan permohonan daripada 150 negara di seluruh dunia.

Semalam, anak bongsu dari lima beradik itu dianugerahkan Anugerah Khas pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah di Padang Merdeka.

Anugerah Khas itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Sementara itu, Sirhajwan turut gembira dengan pencapaian Alesyah yang menjadi antara 10 peserta terbaik bagi merebut anugerah dunia itu.

“Ini bermakna Alesyah juga telah membuktikan usahanya mempromosikan STEM dalam kalangan pelajar luar bandar kini telah terbukti melalui inovasi yang dilakukan.

“Selain itu, ini juga telah memberi platform yang lebih baik untuk mengembangkan kerjaya dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *