Lebih 200 murid SK Tanjung Aru II terima khidmat gunting rambut percuma

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Lebih 200 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru II di daerah ini berpeluang menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma melalui Program “Hair Makeover By MHA” anjuran bersama dengan seramai 27 orang ahli dari Malaysian Hairdressing Association yang diketuai oleh Rebecca Chong ( Rebecca’s Haven De Wellness Saloon ).

Guru Besar SK Tanjung Aru II, Sukrani @ Mimi Osman berkata, program ini bertujuan untuk membantu murid, khususnya ibu bapa murid yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan sesi persekolahan anak mereka dan sekaligus merapatkan hubungan silaturrahim antara pihak sekolah dan ibu bapa murid.

Murid-murid SK Tanjung Aru II sedang menerima khidmat gunting rambut percuma dari MHA.

“Selain dapat membantu murid yang kurang berkemampuan, program sedemikian juga memberi peluang kepada murid pengalaman daripada khidmat tukang gunting rambut yang profesional.

“Ia juga satu pengalaman yang menarik buat murid kerana telah digunting secara beramai-ramai dengan rakan mereka. Program ini juga diharap akan dijadikan contoh untuk murid-murid lain supaya mempunyai rambut yang kemas.

“Justeru itu, pihak sekolah juga dapat bekerjasama dengan pihak luar dan ini merupakan satu peluang yang jarang diperolehi iaitu membina satu jaringan korporat dalam perkhidmatan profesional,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

MHA, guru-guru dan murid merakamkan gambar kenangan semasa program itu.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi pada Isnin lalu (29 Ogos 2022) di Bilik KOKUM , SK Tanjung Aru II melibatkan murid lelaki dan perempuan daripada Pra Sekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), murid Tahap 1 dan Tahap 2.

Selain MHA, program ini juga dijayakan bersama perkongsian pintar antara Highly Immersive Programme, Unit Disiplin Murid dan Unit Bimbingan & Kaunseling, SK Tanjung Aru II.

Guru Besar SK Tanjung Aru II Sukrani @ Mimi Osman (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua MHA Rebecca Chong selepas program itu.

Sementara, Ketua MHA, Rebecca Chong merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak sekolah kerana telah memberi keizinan kepada mereka demi melaksanakan aktiviti menggunting rambut di kalangan murid Pra Sekolah, PPKI dan murid perdana.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada semua ahli MHA. Kami memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau kesilapan secara langsung atau tidak langsung sepanjang program ini berjalan dan berharap agar usaha baik ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *