Empat penggiat seni industri kreatif Sabah terima Anugerah Khas

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Pengarah,pelakon dan seniman veteran serba boleh Datuk Deddy M Borhan yang banyak menghasilkan karya ‘box office’ pada era kebangkitan filem melayu sekitar 1970-an dan 1980-an berjaya dianugerahkan Anugerah Khas PTV (Perfileman).

Anugerah yang disampaikan pada Majlis Bakat Skrin Sabah (SST) 2022 itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Profesor Dr Mohd Nasir Ibrahim.

Deddy atau nama sebenar Maddin Borhan telah banyak menghasilkan filem bermutu yang masih ditonton hingga hari ini.

Anak jati Tuaran itu juga cukup sinonim dengan filem Azura yang dibintangi Datuk Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud yang memecahkan rekod sebagai filem Melayu pertama mencatat kutipan tiket ‘box-office’ lebih RM2 juta.

Kini beliau lebih cenderung untuk membimbing penggiat seni dengan menumpukan usaha membangunkan bakat baharu dalam industri filem terutama di Sabah.

Sempena majlis itu juga, turut menerima Anugerah Khas ialah pengarah tempatan Tony Francis Gitom yang menerima Anugerah Khas (Drama TV & Drama Bersiri).

Turut menerima anugerah, penyanyi tempatan yang terkenal dengan lagu ‘Orang Kita, Kita Orang’ iaitu Abu Bakar Ellah yang dianugerahkan Anugerah Khas (Seni Suara dan Penciptaan Lagu).

Seorang lagi penggiat seni veteran tempatan Dayang Hasnah Pangiran Ibrahim turut menerima Anugerah Khas (PTV) dalam Seni Lakon.

Terdahulu pada, Pengarah Program SST Ramli Carlo berkata, program yang dilaksanakan bermula Mac lalu itu berjaya disertai seramai 66 peserta dari seluruh daerah di negeri ini.

Katanya, program yang dianjurkan itu adalah untuk mengenalpasti bakat anak tempatan selain mahu mengembangkan lagi bakat yang ada dalam menyemarakkan kemeriahan industri kreatif di negeri ini.

“Untuk perancangan akan datang, program ini dijangka akan dijadikan sebagai program tahunan dan akan mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kita juga akan menjemput lebih ramai rakan strategik termasuk (FINAS) sendiri untuk bekerjasama dengan kami pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini semalam.

Dalam pada itu, Dr Mohd Nasir berkata, program yang dianjurkan dilihat sangat baik selain turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sabah dan berbangga atas usaha bagi membangunkan bakat-bakat yang sedia ada.

“Kita sedia maklum Sabah mempunyai sangat banyak bakat yang berbakat besar dalam pelbagai bidang. Ini perlu diteruskan dan dibangunkan dengan lebih sistematik serta lebih besar.

“Dengan cara ini mereka di Sabah tidak ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan lagi industri kreatif di negara kita,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.