Kerajaan Negeri komited dalam soal memperkukuh keselamatan di Sabah – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memberikan kerjasama yang terbaik dan tidak teragak-agak dalam soal memperkukuh keselamatan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, isu keselamatan adalah yang paling penting di negeri ini.

“Kami akan memberikan kerjasama yang terbaik apabila mempertimbangkan perkara yang memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diberi taklimat oleh Polis Diraja Malaysia mengenai situasi keselamatan semasa di Sabah diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Menara Kinabalu dekat sini hari ini.

Hajiji berkata, keselamatan negeri adalah di atas agendanya.

“Saya telah membangkitkan isu ini sepanjang masa dan yang terbaru semasa mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam (dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Saya telah meminta pertambahan peruntukan bagi mengukuhkan aset keselamatan kita terutamanya di Pantai Timur,” katanya.

Hajiji mengulangi gesaannya untuk menaik taraf pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia – Indonesia di Pulau Sebatik.

Beliau juga telah melawat tiga pos luar PGA iaitu Burst-Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu baru-baru ini.

Semasa taklimat itu, Hajiji diberitahu bahawa dua batalion baru PGA akan ditetapkan di Nabawan dan Kunak sebagai tambahan kepada lima batalion sedia ada di negeri ini.
Dengan tujuh batalion PGA, Sabah akan mempunyai kehadiran PGA terbesar di negara ini.

Turut dicadangkan ialah penubuhan Komando Skuadron 69 di Lahad Datu, Pangkalan baru marin polis Sabah di Kampung Lok Poring, Sepanggar dan pusat latihan polis atau Pulapol di Kampung Laya-Laya, Tuaran.

Atas permintaan, penambahan kawasan di pangkalan unit udara polis di Tanjung Aru, Hajiji memaklumkan bahawa ia telah pun diluluskan.

Turut mengiringi Acryl, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah serta pegawai kanan Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Sabah.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Peguam Negara, Datuk Nor Asiah Yusof, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Sahari dan Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Zulkifli Abidin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *