Langkah dapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen Sabah, Sarawak kembalikan konsep semak dan imbang dalam pentadbiran

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Keputusan Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang mengendors langkah bagi mendapatkan semula 35 peratus daripada kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak merupakan satu langkah yang baik dalam menghormati semangat pembentukan Malaysia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMT) UMNO Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu juga merupakan satu berita yang baik untuk negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia akan dapat mengembalikan konsep semak dan imbang atas keseimbangan politik dan pentadbiran negara.

“Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih dan bangga dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang bersetuju untuk meningkatkan lagi wakil Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak. Ini adalah bagi menghormati semangat pembentukan Malaysia.

“Sabah dan Sarawak serta Singapura dahulu bersetuju membentuk Malaysia bersama dengan Tanah Melayu dengan syarat bahawa Ahli-Ahli Parlimen daripada Sabah,Sarawak dan Singapura mesti lebih kurang satu per tiga supaya Tanah Melayu tidak boleh mengubah Perlembagaan Malaysia itu tanpa perundingan Sabah Sarawak dan Singapura. Apabila Singapura keluar Malaysia, jumlah Ahli Parlimen Sabah Sarawak itu tidak lagi sampai satu per tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Bergerak Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di perkarangan Bangunan Canselori UMS disini hari ini.

Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UMS berkata, perkara itu sebelum ini telah pun dimulakan dan diperjuangkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Tapi oleh kerana Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) kalah pada 2018, kerja-kerja awal yang dibuat oleh jawatankuasa sebelum itu diteruskan oleh pentadbiran lalu.

“Justeru saya sekali lagi ucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri dan Kerajaam Persekutuan serta perunding Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Semalam, Mesyuarat MKMA63 telah mengendors langkah bagi mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata isu itu dibincangkan secara terperinci dan diendors pada mesyuarat kelima Majlis Khas itu yang dipeengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

“Namun, lebih banyak (sesi) libat urus diperlukan berkaitan isu tersebut, terutama dalam kalangan penggubal dan pengamal undang-undang yang berkhidmat di Borneo,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Berdasarkan pengiraan terkini, 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen adalah di Semenanjung Malaysia, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi adalah untuk negeri-negeri Borneo iaitu Sarawak (31) dan Sabah (25).

Endorsmen oleh MKMA63 itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

MKMA63 dibarisi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, menteri kanan Persekutuan dan negeri serta pengawal kanan kerajaan..

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *