Abdul Rahman beri bayangan kembali bertanding PRU-15

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menawarkan diri seterusnya memberi bayangan akan bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Katanya yang mengakui namanya dan pemimpin lain berada dalam senarai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut memberi bayangan akan bertanding semula di kerusi Parlimen Kota Belud.

Beliau sebelum ini pernah menyandang kerusi Parlimen Kota Belud selama dua penggal sejak 2008 namun tewas di kerusi Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14 ) di tangan calon Parti Warisan (WARISAN) Datuk Mohd Azis Jamman.

“Sama ada saya bertanding atau tidak, itu terpulang kepada  keputusan parti, tapi saya diberi gambaran aspirasi kepemimpinan parti untuk saya tawar diri bertanding pada PRU-15.  Sebagai ahli politik niat untuk berkhidmat dan menyumbang idea bagi membangunkan negeri dan negara memamg ada dalam sanubari saya dan saya tidak keberatan menawarkan diri.

“Cuma jangan tanya saya di mana kerana saya tidak mahu mendahului kepemimpinan tertinggi parti.  Namun, kerusi mana saya bertanding kamu boleh senarai pendekkan.

“Saya tidak tinggalkan Kota Belud, tapi saya diarah oleh parti berpindah ke tempat lain walaupun saya bantah dan ia tidak berhasil, strategi tidak mengena.  Dipindahkan ke kerusi Parlimen Sepanggar dalam masa tiga bulan sebelum PRU-14 adalah tidak begitu mengena,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Bergerak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), di sini, hari ini.

Abdul Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UMS berkata demikian ketika ditanya sama ada akan bertanding semula pada PRU-15.

Menurutnya, beliau mempunyai banyak idea yang masih tergendala di Kota Belud dan mahu menyambung semula dengan kembali menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Walaupun ketika ini saya bukan Ahli Parlimen, usaha melaksanakan apa yang dijanjikannya ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dahulu tetap diteruskan, termasuk penubuhan sebuah politeknik.

“Saya sudah janji penubuhan politeknik, saya tetap usahakan kelulusan politeknik dari kerajaan Pusat dan hari ini Jabatan Tanah dan Ukur berada di Kota Belud sedang mengukur tanah.  Kelulusan sudah diberi untuk fasa satu Politeknik Kota Belud dan ini usaha saya untuk menyambung apa yang tergendala di Kota Belud,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman juga tidak menolak untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Tuaran atas kapasitinya sebagai Ketua UMNO Tuaran jika kepemimpinan parti menyenaraikan namanya di kerusi berkenaan.

Kerusi Parlimen Tuaran sebelum ini ditandingi parti komponen BN, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ketika parti itu masih berada di bawah gabungan berkenaan yang kini disandang Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau.

Manakala kerusi Parlimen Kota Belud disandang pemimpin muda WARISAN, Isnaraisah Munirah Majilis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *