Helikopter terputus hubungan, Radar kesan kehilangan altitud mendadak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

CYBERJAYA — Sebuah helikopter jenis Eurocopter dan juruterbangnya dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari tadi. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu dimaklumkan dan disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) kepadanya.

“Sebuah helikopter syarikat swasta yang terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang dalam pesawat itu.

“Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari tadi.

Dalam pada itu Helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo yang mengesahkan insiden itu berkata, helikopter yang hilang itu jenis Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik Heli Outpost Sdn Bhd.

Menurutnya, sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

”Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada 1 minit, lantas Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di KLATCC telah segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang walau bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat.

Menurutnya, helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan untuk mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *