HomeSukanSambutan HBN hargai kepentingan belia dalam proses pembangunan negara

Sambutan HBN hargai kepentingan belia dalam proses pembangunan negara

Read Time:1 Minute, 19 Second

KENINGAU : Pelaksanaan sambutan Hari Belia Negara (HBN) merupakan satu program atau aktiviti khusus bagi menghargai kepentingan golongan belia sebagai satu aset dalam proses pembangunan negara.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, HBN juga dilihat menjadi simbol kepada kebersamaan belia dan kerajaan dalam proses membangunkan belia secara holistik.

Katanya, ini juga akan dapat mewujudkan lagi suasana aman, harmoni dan semangat cintakan negara.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyediakan modul sambutan HBN pada kali ini dengan berkonsepkan karnival atau mini karnival yang berteraskan enam segmen.

“Antaranya adalah seperti modal insan, gaya hidup aktif, ekonomi, kreativiti, inovasi dan digitalisasi, kenegaraan dan patriotisme dan daripada belia untuk belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan HBN peringkat Pedalaman Atas di Padang Bandaran Keningau di sini semalam.

Ellron berkata, konsep yang dilaksanakan itu turut diterjemahkan melalui program-program yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang lima hari sambutan berlangsung.

Katanya, ia merupakan salah satu alternatif bagi mempromosikan kepada rakyat bahawa kerajaan senantiasa memberikan perhatian yang penuh kepada golongan belia dan berusaha membantu dalam membangunkan belia di negara kita khususnya di negeri Sabah.

“Semoga gerakan perdana program hari belia negara ini dapat menyuntik semangat dan meningkatkan kesedaran kepada golongan belia yang mana walaupun di kala negara dan dunia dilanda pandemik, golongan belia masih mendapat perhatian daripada pihak kerajaan,” katanya.

Pelaksanaan sambutan HBN merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan dan negara kepada golongan belia atas sumbangan yang diberikan dalam pembangunan negara.

Secara rasminya, sambutan HBN dilaksanakan pada tanggal 15 Mei setiap tahun.

Pelaksanaan HBN melibatkan program – program secara fizikal dan atas talian yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian.

RELATED ARTICLES
Utama

Australia perkukuh hubungan kerjasama dengan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya