Polis kesan kenderaan terlibat kemalangan maut pejalan kaki

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut disyaki telah dilanggar oleh sebuah kenderaan dalam satu kejadian berhampiran Restoran Maimunah di Sinsuran, Jalan Tun Razak, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam kejadian jam lebih kurang 1.20 pagi tadi (18 Sept), berlaku satu kemalangan melibatkan seorang pejalan kaki disyaki dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis dan nombor pendaftaran tidak diketahui berhampiran Restoran Maimunah, Jalan Tun Razak, di sini.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun telah ditemui terbaring di lorong kiri jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dibahagian kepala oleh seorang penunggang motosikal yang ketika itu melalui jalan tersebut.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala berkemungkinan akibat kesan hentakan oleh objek keras di bahagian muka dan kepala.

“Di lokasi kejadian juga terdapat kesan lurus di atas jalan raya pada lorong sebelah kiri disyaki kesan brek sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, kemalangan disyaki berpunca semasa mangsa cuba melintas jalan.

“Siasatan akan diteruskan bagi mengesan kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes ini sila hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Amirul Azri Zainal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *