Projek “Dau Dau” Guru KV Keningau, Finalis Anugerah Inovasi Pendidikan United Kingdom

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KENINGAU: Projek pendidikan yang dilaksanakan oleh sepasukan guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau telah dipilih sebagai finalis bagi Anugerah Inovasi Pendidikan Bahasa Inggeris paling berprestij di dunia iaitu ELTons Innovation Awards anjuran British Council dalam Kategori Inovasi Tempatan.

Tema utama projek pendidikan yang dipertandingkan adalah cerita rakyat dan budaya etnik serta tema keduanya adalah isu-isu kontemporari.

Pasukan guru KV Keningau memilih tajuk Projek “Dau-Dau” yang bermaksud dahulukala dalam Bahasa Bajau diilhamkan oleh Dr. Sirhajwan Idek, Nurazilah Othman dan Sydney Engelbert Ganggang merupakan projek seni yang menggabungkan seni persembahan, seni penulisan dan seni visual.

Pasukan ini antara lima finalis untuk Kategori Inovasi Tempatan iaitu termasuk dari negara Brazil, Peru, Republik Yunani, Ukraine dan United Kingdom.

Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, mereka (guru Bahasa Inggeris KVK) telah mendapat bimbingan Macmillan Education and International House World Organization yang turut diiktiraf dalam penganugerahan ini. Ini merupakan kali pertama Malaysia berjaya tersenarai sebagai finalis bagi anugerah terkenal ini.

“Projek ini membimbing para pelajar untuk menghasilkan hasil karya seni mereka sama ada dalam bidang seni persembahan, seni penulisan, seni visual ataupun gabungan mana-mana bidang seni tersebut. Ini membolehkan pelajar mengasah bakat dan menunjukkan kreativiti mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, setakat ini, hampir 130 pelajar telah menghasilkan pelbagai video persembahan termasuklah deklamasi puisi, penyampaian cerita, teater pembaca, pantomim, drama radio, monologu dan animasi.

“Hasil karya ini telah dipertandingkan dalam festival seni dalam talian dan ramai pelajar ini telah berjaya memenangi anugerah melalui pertandingan sebegini.

“Selain itu, beberapa pelajar juga telah menghasilkan karya penulisan seperti puisi, cerpen, esei serta hasil seni lukisan yang telah diterbitkan di majalah-majalah yang berpusat di Britain,” tambahnya.

Johari berkata, projek ini juga memberi alternatif tertentu seperti bahasa isyarat dan animasi kepada pelajar berkeperluan khas agar mereka jua dapat menghasilkan karya tersendiri dan menyertai sebarang pertandingan.

Sehubungan dengan itu, beliau turut memuji usaha guru-guru itu yang berjaya memperkayakan pengalaman belajar para penuntut institusi itu sambil memberi mereka peluang untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka.

“Projek itu juga mampu membantu memelihara warisan budaya kerana ianya bertemakan cerita rakyat dan budaya etnik,” ujarnya.

Pemenang-pemenang bagi anugerah yang dipertandingkan akan diumumkan pada 30 November 2022 melalui acara fizikal yang akan berlangsung di London dan ianya turut ditayangkan dalam talian.

Senarai finalis bagi anugerah ini telah diumumkan secara rasmi pada 15 September 2022 melalui laman sesawang British Council: https://www.teachingenglish.org.uk/article/eltons-innovation-awards-2022-finalists-0

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *