KPDNHEP Sabah serbu stor penyimpanan Diesel

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kobuta, Tawau pada hari ini.

Dalam operasi jam 10 pagi itu, sepasukan penguatkuasa telah menjumpai dan menyita sebanyak 2,090 liter minyak diesel di dalam tangki bersama sebuah lori, pam elektrik dan hos besar.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah Zulfamy Mat Udi berkata, semua peralatan dan kenderaan berkenaan disyaki digunakan bagi menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan nilai sitaan keseluruhan adalah berjumlah RM35,993.50.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sumber maklumat telah diperolehi daripada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, dan risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh KPDNHEP Sabah sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulfamy berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Katanya, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Sementara itu, Zulfamy berkata, pihak Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran yang disediakan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *