Paksaan keluarga, timbul rasa ikhlas dalami ilmu Al-Quran – Nazlie

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Bermula dengan paksaan daripada keluarga, graduan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS) Muhammad Nazlie Yidin,23, kini mampu menarik nafas lega apabila usahanya sejak 10 tahun lalu berjaya membuahkan hasil yang membanggakan.

Selain berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma dalam bidang Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat, anak jati daerah Ranau itu turut dianugerahkan Anugerah Graduan Mithali pada Majlis Istiadat Konvokesyen ITQAS.

“Saya mula mendalami bidang Al-Quran ini pada usia muda iaitu ketika umur 13 tahun lagi. Pada ketika itu saya disuruh masuk ke Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacobkhan di Membakut.

“Mulanya, saya kena paksa oleh bapa dan abang, saya memang tidak mahu masuk tapi sekian lama dari keterpaksaan itu akhirnya saya dapat melahirkan rasa ikhlas untuk belajar dan minat untuk mendalami Al-Quran serta ilmu-ilmu yang berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Majlis Istiadat Konvokesyen ITQAS itu disempurnakan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Nazlie turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang banyak membantu dalam pengajian khususnya ibu bapanya.

“Selepas ini saya bercadang untuk meneruskan pengajian di Mesir iaitu dalam bidang sama selain mahu menjadi pensyarah apabila tamat pengajian sepenuhnya nanti.

“Untuk rakan-rakan atau siapa sahaja yang mahu mencapai sesuatu, kita kena sungguh-sungguh sebab keajaiban itu pasti akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan ITQAS Fariha Noorakma Murjim yang. dianugerahkan Anugerah Graduan Cemerlang turut bersyukur atas penganugerahan yang diberikan kepadanya.

Fariha Noorakma Murjim

“Pertama sekali saya bersyukur kerana ini semua anugerah yang Allah berikan dan ini juga adalah berkata doa guru, ibu bapa dan kawan-kawan saya juga. Gembira juga dan bersyukur.

“Ketika saya mula memasuki Diploma, saya baru saja menghafal dan saya tidak ada pun asas dari sekolah menengah. Itulah antara cabaran yang saya hadapi ketika awal dulu.

“Ada kalanya saya putus asa, namun atas dorongan ibu bapa dan guru-guru serta rakan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dalam majlis tersebut seramai 49 graduan telah menerima Sijil Tamat Pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat dan 25 graduan menerima Persijilan Tahfiz Al-Quran 30 Juzuk dan Pengajian Islam yang disampaikan oleh Mohd Ariffin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *