PEA bantu mantapkan perkembangan bahasa, sastera dan budaya di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran Festival Puisi Esei Peringkat Antarabangsa (PEA) 2022 mampu memperkukuhkan lagi perkembangan bahasa, sastera dan budaya di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, PEA 2022 ini juga mampu membina rangkaian hubungan yang baik dengan penulis, ilmuan dan budayawan dari negara luar termasuk tokoh-tokoh budayawan dari negara ini.

Katanya, program ini juga mampu memperkukuhkan perkembangan bahasa, sastera dan budaya, sebagai wadah untuk mendidik manusia.

“Sastera mengajar manusia untuk bersopan santun dan beradab sekali gus akan memberi kesan kebaikan kepada rakyat dan negara. Ini adalah bagi memastikan usaha kita menyemarakkan ilmu akan memberi kesan kepada generasi muda khususnya.

“Saya berasa gembira kerana kita berjaya menganjurkan festival ini buat pertama kalinya. Walaupun program ini hanya berlangsung selama tiga hari saja sehingga Ahad ini, tetapi tempoh yang singkat ini sudah cukup untuk kita berkongsi pengalaman dan buah fikiran untuk membangunkan lagi perkembangan bahasa, sastera dan budaya di rantau negara ini.

“Menerusi PEA ini juga, ia akan membina semula rangkaian hubungan yang baik, dengan penulis, ilmuan dan budayawan di peringkat serantau, sama ada dari negara Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura, termasuk tokoh-tokoh budayawan di negara kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Puisi Esei Antarabangsa (PEA) 2022 di Hotel Promenade di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Sehubungan itu, Hajiji mahu pihak berkaitan antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah agar terus memberikan komitmen membantu Badan Bahasa dan Sastera Sabah atau BAHASA bagi memastikan PEA terkenal di seluruh negara dan di peringkat global.

Katanya, PEA 2022 juga adalah program penting yang boleh dianggap sebagai Ikon Sastera dan Budaya, Sabah Maju Jaya, yang turut membantu dalam aktiviti pelancongan, terutama berkaitan seni dan budaya yang turut terjejas beberapa tahun ini.

“Saya berharap program ini dapat membantu kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi melalui kehadiran pelancong berkaitan seni dan budaya ke negeri ini,” katanya.

Sempena majlis itu, sebanyak lapan buah buku berkaitan puisi esei yang dihasilkan oleh gabungan penulis dari Sabah, Semenanjung dan Sarawak serta negara luar seperti Brunei dan Indonesia turut dilancarkan.

Penerbitan buku ini sudah pasti merancakkan lagi industri berkaitan sastera di Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *