Putri Kaleisha johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 9 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Penghayatan penuh emosi deklamasi puisi oleh Putri Kaleisha Qistina Kamaruddin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk Inanam mencuri hati juri sekaligus menjadi johan sempena Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 dalam Kategori 1: Tahun 4 – Tingkatan 2.

Puisi bertajuk ‘Citra Jiwa Merdeka’ nukilan Abdul Karim Ghulam itu membawa tuah kepada Putri Kaleisha yang juga merupakan murid Tahun 6 di sekolah berkenaan.

Majlis penutupan Sayembara Deklamasi Puisi itu disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Radzi Md Jidin yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 21 September lalu.

Majlis anjuran Kumpulan UMW bersama rakan kolaborasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan disokong oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bertujuan untuk memupuk semangat cintakan negara dan menghayati semangat kemerdekaan di samping mengukuhkan jati diri generasi muda serta keterampilan berbahasa Melayu melalui seni puisi.

Pemenang Putri Kaleisha dan Nurul Azzahrah merakamkan gambar kenangan bersama Guru Besar SK Lok Yuk Inanam Wong Nyuk Chin (empat kiri) dan guru-guru.

Guru Besar SK Lok Yuk, Wong Nyuk Chin berkata, Putri Kaleisha seorang murid yang mempunyai keterampilan yang menarik, berani dan antara murid kami yang sangat berbakat serta penghayatan yang cukup baik dalam bidang puisi ini maka tidak hairanlah dia menjadi juara kebangsaan pada tahun ini.

“Saya sangat bangga dengan kejayaan yang diperolehi adik Putri Kaleisha Qistina yang telah dinobatkan sebagai juara deklamasi puisi peringkat kebangsaan ini dan tidak lupa juga kepada adik Nurul Azzahrah yang memenangi Naib Johan dalam Sayembara Penulisan Puisi, mereka adalah murid yang sangat berbakat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyambut kepulangan Putri Kaleisha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam. (23 Sept)

Wong turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur, guru-guru SK Lok Yuk serta ibubapa yang sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan apa juga aktiviti yang dijalankan di sekolah tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga berharap murid-murid lain di sekolahnya, dengan kejayaan yang dicapai itu akan menjadi motivasi kepada mereka untuk menunjukkan bakat yang mereka ada seterusnya bukan sahaja membanggakan sekolah tetapi juga membawa nama Negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Putri Kaleisha mengakui dia mendapat tunjuk ajar dalam mendeklamasi puisi adalah dari ibunya bernama Kartina Kakopong yang juga seorang guru Bahasa Melayu di SK Lok Yuk, Inanam.

“Ibu saya adalah mentor saya selain guru-guru lain juga banyak memberikan sokongan dan melatih saya hingga ke tahap ini. Selain itu saya juga mendapat bimbingan dan rujukan dari media sosial, iaitu individu pendeklamasi puisi tempatan yang telah berjaya dalam bidang ini.

” Saya juga mendapat bimbingan dari Mohd Fauwziey Hazqric, beliau merupakan Johan Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan Kali ke-35 Tahun 2021. Beliau mengajar saya tentang teknik penyampaian sajak dan gaya tubuh yang lebih berkesan.

“Alhamdulillah, hasil usaha ini, banyak kejayaan yang telah saya capai sepanjang tahun ini dalam pertandingan deklamasi puisi sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, sasaran seterusnya ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Putri Kaleisha (kiri) bersama Nurul Azzahrah menunjukkan hadiah kemenangan masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi murid dari sekolah yang sama Nurul Azzahrah Kausar Mohd Nazri, 12, memenangi Naib Johan Sayembara Penulisan Puisi Merdeka Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 Kategori 1: Tahun 4-Tingkatan 2.

Nurul Azzahrah yang juga merupakan anak kepada seorang komposer industri muzik tempatan Nazri Saidali, berkata, kemenangan yang dicapai itu menjadi motivasi kepada dirinya untuk mempelajari lebih mendalam dalam bidang ini dan bercita-cita ingin menjadi seorang penulis lirik yang berjaya suatu hari nanti.

Pemenang bagi Johan Deklamasi Puisi menerima wang tunai sebanyak RM350, trofi iringan, sijil dan buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, nukilan R. Hamkama. Manakala Naib Johan Penulisan Puisi menerima RM250, trofi iringan, sijil dan buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, nukilan R. Hamkama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *