Pengiran Aidil harumkan nama negara di Kuwait

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Atlet olahraga pelapis negeri Sabah Pengiran Aidil Auf Hajam berjaya mengharumkan nama negara apabila berjaya memenangi pingat gangsa di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Bawah 18 tahun di Kuwait.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah Sandakan itu berjaya meraih pingat menerusi acara 200 meter dengan catatan masa 21.65 saat.

Pelari berusia 17 tahun itu mencatat masa peribadi terbaik 21.45 saat pada peringkat saringan namun hanya memperolehi catatan masa 21.65 saat pada peringkat akhir yang diadakan di Stadium Ahmad Sulaiman Alrashdan di Kaifan pada Ahad.

Sebelum ini, Pengiran Aidil turut mencatat 21.80 saat dalam perjalanan meraih emas pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil di ibu negara bulan lalu.

Pengiran Aidil turut berasa gembira dengan pencapaian yang telah dicapai menerusi kejohanan yang disertainya itu.

“Saya yakin untuk memenangi pingat selepas mencatat masa terbaik pada peringkat saringan dan saya juga tidak sabar untuk mencatat masa yang lebih baik dalam pertandingan tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih, Jumain Taepe turut berbangga dengan pencapaian Pengiran Aidil.

“Saya percaya dia akan menjadi pelari pecut negara suatu hari nanti.

“Tugasan seterusnya adalah untuk layak ke Sukan Remaja Komanwel 2023 di Trinidad dan Tobago,” katanya.

Malaysia yang diwakili empat atlet meraih kutipan satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam pertemuan empat hari itu.

Bagi pingat emas dimenangi Ng Tak Sing dalam acara lompat kijang dengan catatan lompatan sejauh 14.62m manakala pingat perak dimenangi Fiross Faizal untuk acara 110 meter lari berpagar dengan catatan masa 13.78 saat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *