Laporan Pasukan Khas mengenai Tommy Thomas dedah lantikan pegawai tanpa ikut presedur

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 33 Second

CYBERJAYA — Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mengetepikan pegawainya sendiri semasa beliau menjadi peguam negara dalam melantik kira-kira 23 peguam luar untuk bertindak bagi pihak kerajaan tanpa mengikut prosedur, menurut laporan kerajaan.

Laporan oleh pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan yang dibangkitkan mengenai memoir Thomas itu, berkata pelantikan begitu ramai peguam luar untuk mewakili kerajaan persekutuan “belum berlaku” dalam sejarah perkhidmatan awam Malaysia.

Ia menyifatkan pelantikan itu sebagai tidak wajar dan sangat menimbulkan perbalahan, dengan menyatakan bahawa peguam luar dilantik untuk mengendalikan “kes berprofil tinggi yang membolehkan mereka mengakses dokumen dan maklumat yang sangat sulit”.

Antara yang dilantik oleh Thomas ialah peguam British Toby Landau dan Luke Parsons, yang kedua-duanya peguam Diraja, serta firma yang berpangkalan di Singapura dan Los Angeles lapor portal FMT.

Pasukan petugas itu menyatakan bahawa Thomas telah berkata dalam memoirnya bahawa peguam di Jabatan Peguam Negara (AGC) “tidak mempunyai komitmen, semangat dan dorongan yang sama” sebagai ahli Badan Peguam Malaysia.

Sebagai ketua jabatan itu, Thomas sepatutnya membuat cadangan untuk mengatasi pelbagai kelemahan, kata pasukan petugas itu.

Sebaliknya, beliau mengetepikan pegawainya, dengan berkata mereka tidak cekap dan tidak berpengalaman dan membuat pelantikan luar tidak mengikut prosedur yang mesti dipatuhi oleh ketua perkhidmatan perkhidmatan undang-undang.

Pasukan petugas itu turut mengkritik Thomas kerana tidak mengekalkan standard etika dan ketertiban yang diharapkan daripada seorang peguam negara, jawatan elit dalam kerajaan.

“Oleh itu, memoir seperti ini oleh bekas peguam negara, kebanyakannya mengandungi maklumat tanpa justifikasi dan bukti, adalah tidak sesuai,” kata pasukan petugas itu.

Syor tentang kuasa AG

Jawatankuasa itu turut menggesa satu garis panduan ditetapkan mengenai kuasa peguam negara dan pendakwa raya untuk melantik peguam luar mewakili kerajaan.

Garis panduan itu harus menjamin ketelusan dan integriti, sambil menghapuskan sebarang konflik kepentingan.

“Pasukan petugas itu mencadangkan pelantikan peguam dalam kes sivil dan jenayah perlu dibuat oleh peguam negara atas permintaan ketua bahagian yang mengendalikan kes sebegitu.”

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak mencadangkan pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, Ahmad Maarop sebagai presiden Mahkamah Rayuan serta David Wong sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak pada Julai 2018, menurut laporan kerajaan.

Pasukan petugas khas mendapati Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas dan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelantikan tiga individu terbabit, serta Zaharah Ibrahim sebagai hakim besar Malaya, menurut memoir bekas peguam negara itu.

Ini menyusul peletakan jawatan Mohamed Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai presiden Mahkamah Rayuan pada Jun 2018.

Dalam laporan yang didedahkan kepada umum, pasukan petugas itu menegaskan JAC mengesyorkan pelantikan Azahar Mohamed, hakim besar Malaya ketika ini sebagai ketua hakim negara, bukannya Malanjum.

JAC turut mencadangkan pelantikan Rohana Yusuf sebagai presiden Mahkamah Rayuan, jawatan yang disandangnya kini, serta Abdul Rahman Sebli sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak.

“Jika perdana menteri tidak bersetuju dengan pemilihan ini, beliau sepatutnya meminta lebih banyak nama untuk setiap jawatan kehakiman yang kosong. Tiada bukti ditemui pasukan petugas bahawa beliau sudah membuat permintaan sedemikian,” kata pasukan petugas itu.

“Sebaliknya, daripada laporan Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, nama-nama yang dikemukakan oleh perdana menteri ketika menyampaikan nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 122B adalah nama yang dibincang dan dipersetujui antara (Mahathir) dan (Thomas).”

Langgar Perlembagaan Persekutuan

Pasukan petugas itu berkata, Mahathir melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Wong sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak kerana gagal berunding dengan ketua menteri Sabah serta Sarawak terlebih dahulu seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ini ialah “pelanggaran ketara” apabila ketua menteri Sabah dan Sarawak ketika itu mengesahkan mereka dirujuk berhubung pelantikan Abang Iskandar Hashim ke jawatan sama pada 2019.

“Kegagalan berunding dengan dua ketua menteri berhubung pelantikan Wong sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak adalah pelanggaran Perlembagaan, di mana jelas Thomas sebagai peguam negara ketika itu tidak menasihati perdana menteri untuk mematuhinya.”

Laporan gesa sekatan terhadap peranan PM

Pasukan petugas itu mencadangkan Akta JAC dipinda untuk melarang perdana menteri daripada menasihati Agong melantik sesiapa saja ke jawatan kehakiman dalam mahkamah atasan, jika orang yang dilantik itu tidak dipilih JAC.

Ia turut mencadangkan empat individu utama dalam JAC perlu dilantik oleh Agong, bukannya perdana menteri bagi memastikan kebebasan kehakiman terus terpelihara.

JAC terdiri daripada sembilan anggota – empat pentadbir tertinggi kehakiman yang diketuai ketua hakim negara, seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan empat individu utama lain, yang kini dilantik oleh perdana menteri.

Klik untuk laporan penuh :-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *