Datuk Seri Hajiji Noor

Sabah kekal sebagai destinasi menarik untuk pelabur

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Sabah sedang dan akan terus mengekalkan momentum sebagai destinasi menarik untuk pelabur, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, banyak peluang telah dimanfaatkan oleh negeri ini dalam pelbagai sektor di seluruh negeri, agar Sabah kekal konsisten dari segi menarik lebih banyak pelaburan.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan GRS-BN (September 2020 hingga September 2022) sebanyak 46 syarikat telah melabur di Sabah dalam sektor perkilangan, sekali gus memberi kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

“Dalam tempoh itu, jumlah pelaburan asing adalah sebanyak RM11. 9 bilion, manakala pelaburan tempatan sebanyak RM942 juta. Sabah akan mendorong momentum ini dan kita yakin Sabah sedang dan akan terus menjadi destinasi menarik untuk pelaburan”, katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perlantikan/Installation Ke-10 Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) di Grand Ballroom Shangri-La Tanjung Aru semalam.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Sehubungan itu, beliau menggesa KCCI dan dewan-dewan perniagaan lain agar memanfaatkan semua peluang ini untuk maju, selain terus bersama membantu kerajaan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini.

Katanya, Hala Tuju dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah satu-satunya usaha murni kerajaan untuk membawa pembangunan yang menyeluruh dan pesat bagi negeri Sabah.

“Misi dan aspirasi saya adalah melihat Sabah yang progresif. Kerajaan tidak pernah berhenti dalam usaha membawa lebih banyak pembangunan untuk Sabah dan kesejahteraan rakyat”, tegasnya.

Hajiji berkata, kerajaan menawarkan penyertaan yang lebih bermakna dan mapan daripada golongan Bumiputera agar menyahut gesaan Kerajaan untuk turut serta dalam proses transformasi ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

“Terpulang kepada kebijaksanaan dan kapasiti ahli-ahli KCCI untuk menyesuaikan proses anjakan kepada satu bentuk ekonomi baharu yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi. Ambillah kesempatan bergabung dengan syarikat luar yang mempunyai kemahiran dan kepakaran terkini”, tambahnya.

Menurutnya, dalam usaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, Kerajaan telah banyak memberi peruntukan untuk melatih dan menggilap tenaga kerja supaya dapat memiliki kelayakan dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan negara.

Beliau juga menyeru ahli-ahli KCCI agar tingkatkan semangat juang, semangat usahawan dan semangat kerjasama terutama dalam menempuh cabaran untuk menubuhkan komuniti komersial dan perindustrian Bumiputera di Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *