PRU15: Wetrom tanding kerusi Parlimen Kota Marudu atas tiket KDM

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kontroversi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau Datuk Wetrom Bahanda keluar dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hari ini disahkan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony mengesahkan penyertaan dan telah melantik Wetrom sebagai timbalan presiden parti berkenaan.

“Saya fikir semua umum tahu parti KDM lebih kepada kepentingan dan kelangsungan negeri kita daripada kepentingan peribadi. Saya percaya Datuk Wetrom menyertai KDM kerana beliau mempunyai matlamat seperti yang ada dalam KDM, selepas ini beliau akan bertanding untuk kerusi Parlimen Kota Marudu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amal Makan Malam Solidariti Bahagian P. 172 Kota Kinabalu pada Jumaat malam.

Peter berkata, beliau melantik Wetrom sebagai timbalan presiden KDM adalah untuk memenuhi tiga kuota timbalan presiden dan Wetrom mewakili masyarakat Muslim.

Sementara itu, Wetrom turut mengesahkan keluar dari Parti Bersatu dan GRS seterusnya menyertai KDM.

“Saya secara sah telah keluar daripada Bersatu, saya umumkan untuk bertanding sebab melihat keadaan di Kota Marudu dan aspirasi rakyat pada dasarnya, perjuangan KDM ini lebih serasi dengan perjuangan kita sebab itu saya telah memilih untuk bersama-sama KDM dan berjuang bersama-sama KDM untuk rakyat Kota Marudu dan secara keseluruhan untuk Negeri Sabah,” katanya pada sidang media yang sama.

Wetrom juga turut memberitahu bahawa beliau telah menyerahkan surat perletakan keahlian Bersatu.

Manakala jawatannya sebagai Pembantu Menteri beliau menyerahkan kepada kuasa prerogatif Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) untuk membuat sebarang keputusan.

“Saya sudah hantar (surat perletakan keahlian) dan telah disahkan saya telah hantar peletakan ahli daripada Bersatu dan mengenai jawatan sebagai pembantu menteri, itu diluar bidang kuasa saya itu terpulang kepada YB Ketua Menteri, beliau sudah dimaklumkan,” jelasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *