HomeUtamaAgong, Permaisuri selamat tiba dari Singapura

Agong, Permaisuri selamat tiba dari Singapura

Read Time:2 Minute, 28 Second

BERNAMA

SEPANG — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air hari ini, selepas empat hari melakukan lawatan negara ke Singapura, bermula Selasa lepas (25 Okt).

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kira-kira 11.15 pagi tadi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun. 

Sejurus ketibaan itu, Tunku Azizah dipersembahkan jambangan bunga oleh seorang kanak-kanak sebagai mengalu-alukan keberangkatan pulang Seri Paduka berdua ke tanah air.

Seri Paduka berdua kemudian menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai diketuai Mejar Abdul Hafizi Abdul Halim dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das serta lagu Negaraku.

Istiadat menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Seri Paduka berdua berangkat ke Singapura pada Selasa lepas atas undangan Presiden Singapura Halimah Yacob.

Jadual lawatan Al-Sultan Abdullah bermula dengan lawatan ke Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada 25 Okt, manakala Tunku Azizah turut berangkat melawat Gardens by the Bay pada sebelah malamnya.

Seri Paduka berdua turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong serta beberapa menteri Singapura disusuli Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan Lee dan isteri, Ho Ching pada 26 Okt.

Pada hari sama, Seri Paduka berdua berangkat ke Majlis Santapan Malam di Istana dan diberikan sambutan negara selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami Mohammed Abdullah Alhabshee.

Ketika lawatan negara Seri Paduka berdua, Singapura menamakan satu spesies orkid hybrid sempena dengan nama Raja Permaisuri Agong iaitu ‘Queen Azizah of Malaysia’ dalam Majlis Penamaan Orkid yang diadakan di Istana pada Rabu.

Program Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diaturkan berasingan pada sebelah pagi hingga petang semalam, dengan Al-Sultan Abdullah berangkat mengadakan dua lawatan bermula di Pusat Pelawat NEWater iaitu loji merawat serta memproses air yang digunakan untuk bekalan rakyat Singapura, disusuli lawatan di Kem Pasir Ris yang merupakan institut latihan ketenteraan republik itu.

Tunku Azizah pula berangkat mengadakan lawatan di National Library of Singapore, National Museum of Singapore serta Persatuan Pandu Puteri Singapura dan mengurniakan sumbangan wang S$15,000 kepada organisasi tersebut pada 27 Okt.

Pada Khamis malam, Seri Paduka berdua berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia di Hotel Shangri-La dan meluangkan masa lebih dua jam serta bergambar dengan rakyat Malaysia yang hadir di majlis itu.

Lawatan Seri Paduka berdua ke Singapura mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan istimewa di antara kedua-dua negara bermula sejak 57 tahun lalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya