PRU-15 : GRS, BN dijangka umum calon minggu depan

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengumumkan barisan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) minggu hadapan.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata,  ia selepas rundingan antara kedua-dua parti itu hampir selesai dalam urusan pembahagian kerusi.

“Sebelum ini Pengerusi GRS (Datuk Seri Hajiji Noor) dan juga Pengerusi BN Sabah (Datuk Seri Bung Moktar Radin) telah pun mengumumkan bahawa pembahagian kerusi hampir selesai.

“Jika ada pun satu dua itu pun lebih kepada cadangan pertukaran (kerusi) bukan kerana jumlah manaka pengumuman calon dijangka akan diumumkan pada Selasa atau Rabu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah kepada Sekolah-sekolah dan Badan-badan Keagamaan bukan Islam 2022 bagi Zon Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pihaknya yakin tidak akan berlaku pertembungan antara parti-parti dalam GRS mahupun BN.

Sebelum ini, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agihan kerusi bagi calon GRS dan BN untuk PRU-15 sudah dimuktamadkan.

Katanya, pihaknya akan membuat pengumuman senarai calon-calon PRU-15 beberapa hari sebelum penamaan calon.

Menurutnya, kerjasama di antara GRS dan BN juga dalam keadaan baik.

“Kita akan pastikan kerjasama ini menjadi kekuatan kepada kerajaan negeri. Pembahagian kerusi juga sudah selesai dan kita akan umumkan tidak lama lagi mungkin beberapa hari sebelum penamaan calon,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.