HomeSukanSabah FC bakal tampil muka baharu, kekal pemain sedia ada

Sabah FC bakal tampil muka baharu, kekal pemain sedia ada

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC dijangka akan membawa masuk beberapa muka baharu selain akan mengekalkan beberapa pemain sedia ada bagi memperkukuh pasukan untuk menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, semua barisan pemain yang bakal membarisi skuad The Rhinos itu akan diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan apabila tiba masanya nanti.

“Saya ingin menyatakan bahawa kontrak pemain sudah disediakan, sebelum ini kita telah menyambung kontrak Park Taesu selama dua musim sehingga 2024.

“Untuk pemain lain, tunggu pengumuman rasmi daripada kami. Kontrak semua sudah sedia ada tapi kami tidak mahu umum, nama sudah ada. Ada juga yang sudah tandatangan kontrak awal,” katanya.

Sebelum ini, Sabah FC mengambil keputusan untuk menyambung kontrak pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu sehingga 2024.

Pelanjutan itu memberi kegembiraan buat penyokong skuad Badak seterusnya akan membantu Sabah FC mendapatkan slot ke Piala AFC.

Mengenai muka baharu yang dijangka akan dibawa masuk ke Sabah FC, Marzuki berkata, pihaknya perlu menghormati pemain yang terlibat sebelum membuat pengumuman rasmi.

“Kita kena hormat kepada para pemain terlibat kerana ada pemain yang masih mempunyai kontrak dengan pasukan sedia ada.

“Sudah pasti akan ada pemain baharu kerana tahun depan perlawanan semakin banyak, jadi sudah tentu kita perlu ada skuad yang kukuh,” katanya.

Sabah FC akan meneruskan saingan dalam perlawanan kedua peringkat 16 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Likas Isnin ini.

Dalam aksi pertama di Stadium UiTM Shah Alam, Sabah FC berjaya memenangi perlawanan menewaskan UiTM FC dengan keputusan 2-1. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

206 peserta Climbathon bakal ‘takluk’ Gunung Kinabalu Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular