HomeUtamaPRU15: Mahasiswa mahu balik mengundi walau ada kekangan tambang

PRU15: Mahasiswa mahu balik mengundi walau ada kekangan tambang

Read Time:2 Minute, 40 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perjalanan beratus kilometer merentasi laluan udara bukan penghalang buat kebanyakan mahasiswa dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tidak mahu melepaskan manfaat pelepasan lima hari yang diberikan kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT), rata-rata mahasiswa bersemangat ingin ‘balik kampung’ bagi memilih calon dan parti pilihan masing-masing biarpun terdapat kekangan seperti harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi.

Pelajar Universiti Selangor (Unisel) Mohd Aznirulnaim Abd Azis, 22, dari Tawau, Sabah teruja untuk mengundi buat kali pertama dan sudah membeli tiket penerbangan lebih awal untuk pulang ke kampung halaman.

Mohd Aznirulnaim yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) (Pengajian Islam),

berkata beliau sanggup menggunakan duit simpanan semester untuk membeli tiket penerbangan pada harga RM394 sehala bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Saya amat galakkan semua mahasiswa di seluruh IPT awam dan swasta untuk pulang mengundi kerana perkara ini sangat penting. Kita perlu memikirkan masa depan generasi sekarang dan akan datang sekiranya mereka (mahasiswa) tidak keluar mengundi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Aznirulnaim bagaimanapun, mencadangkan kerajaan memikirkan cara supaya tambang pengangkutan dapat dikurangkan pada musim pilihan raya untuk memudahkan mahasiswa pulang mengundi terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Bagi pelajar Ijazah Doktor Perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Nurul Anis Ramli,19, beliau juga mahu pulang ke kampung halamannya di Pusing, Perak, untuk mengundi namun belum membeli tiket penerbangan kerana beberapa kekangan yang ada.

Nurul Anis berkata, sekiranya tiada perkara yang menghalang, beliau akan membeli tiket penerbangan tidak lama lagi dengan harapan tambang akan menjadi lebih murah lebih-lebih lagi memikirkan beliau memerlukan banyak wang untuk pengajian.

“Cadangan saya, kerajaan sepatutnya menyediakan kenderaan untuk pelajar yang kurang berkemampuan kerana walaupun harga tiket sudah turun, bagi mereka ia masih satu perbelanjaan yang besar kerana mereka dapat menggunakan duit tambang itu untuk membeli keperluan hidup,” katanya.

Lain pula bagi pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Nor Iqbal Mohd Sait, 24, yang masih ‘berkira-kira’ untuk pulang mengundi di Kuala Lumpur dengan mengambil kira harga tiket penerbangan sehala dari Sarawak ke ibu kota, yang boleh mencecah sehingga lebih RM400.

Oleh itu, Nor Iqbal, pelajar Sarjana Sains Sosial (Sosiologi) menegaskan agar sistem pengundian yang disifatkan masih ‘tradisional’ perlu ditambah baik pada masa akan datang memandangkan dalam era globalisasi kini hampir semua aspek kehidupan sudah didigitalisasikan.

“Kawasan bandar patut menggalakkan e-voting yang menjadi kebiasan di negara besar seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Filipina. Bagi kawasan luar bandar memang tidak dapat dinafikan kemudahan itu mungkin kurang berkesan.

Dalam pada itu, pelajar semester satu jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Tirmizi Rabidin, 19, mengakui tidak dapat pulang ke Keningau, Sabah untuk mengundi memandangkan tambang penerbangan yang agak mahal berikutan trafik yang tinggi untuk pembelian tiket.

Tambahan pula, menurut Muhammad Tirmizi beliau tidak mempunyai akses kepada penerbangan secara terus dari Alor Setar, Kedah ke Kota Kinabalu, Sabah.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 9 Okt lepas, seramai 1,393,549 pengundi berdaftar berumur 18 hingga 20 tahun dan 4,614,429 pengundi dalam lingkungan umur 21 hingga 29 tahun bagi PRU15.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 November.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya